suria

Ahmad Said Sibuk Dengan PRU-13, Enggan Campur Tangan Kemelut T-Team

HULU TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said enggan masuk campur dalam sebarang urusan kemelut dalaman pasukan kelab T-Team ketika ini kerana sibuk dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan T-Team untuk menyelesaikan secara berhemah melibatkan kontroversi ketua jurulatih Peter James Butler dan pemain import George Boateng yang didakwa mengasari seorang jurugambar akhbar di sini.

Insiden tersebut berlaku ketika penyerahan surat 'direhatkan' daripada setiausaha kehormat Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT), Ali Embong kepada jurulatih itu pada Selasa lepas.

"Kita serahkan kepada pihak pengurusan sebab saya tidak mahu campur tangan dalam sibuk-sibuk pilihan raya ini.

"Saya tidak mahu membuat keputusan yang tergesa-gesa dan akhirnya akan memalukan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia di Batu Hampar, Manir di sini Jumaat. Butler, yang juga pengurus pasukan, didakwa memaki dan menghalau jurugambar New Straits Times Press (NSTP), Tengku Mohd Syamim Tengku Ismail ketika gambarnya dirakamkan selepas jurulatih itu menerima surat direhatkan selama 30 hari daripada pihak pengurusan.

Boateng didakwa campur tangan dengan mencaci, menolak dan cuba merampas kamera jurugambar itu ketika sesi latihan pasukan itu di padang bola Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini.

Berikutan insiden itu, Tengku Mohd Syamim membuat laporan polis di balai polis Kuala Terengganu.

Butler dilapor direhatkan selama 30 hari, berkuat kuasa Isnin lalu. Meskipun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam apa juga aktiviti yang melibatkan pasukan, Butler tetap menerima imbuhan gaji dan elaun bulanan lain.

Tugasannya sebagai ketua jurulatih akan diambil sementara oleh penolong jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain