suria

Sembilan Pelumba Pelapis Terengganu Sertai GP Indonesia

KUALA TERENGGANU: Sembilan pelumba akan menggalas cabaran skuad pelapis Terengganu pada sirkit pertama Kejohanan Berbasikal Grand Prix Indonesia di Semarang, Jawa Tengah, bermula esok.

Ketua jurulatih Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata penyertaan pelumba pelapis pada kejohanan enam hari itu adalah sebagai program pendedahan dan menimba pengalaman bersaing dengan pelumba lain.

"Ini merupakan kejohanan terbesar yang disertai pelumba pelapis ini dan melalui kejohanan ini kita dapat mengesan kelebihan dan kelemahan mereka sebelum menyertai kejohanan yang lebih berprestij," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau berkata mereka menyandarkan harapan kepada dua bintang yang makin menyerlah iaitu Abd Aziz Zahit dan Mohd Badrul Hakimi Hamid yang menunjukkan pretasi yang memberangsangkan.

Bagaimanapun beliau enggan meletakkan harapan yang tinggi pada pelumba pelapis ini kerana pertama kali mereka dihantar kejohanan seperti itu namun jika anak didiknya dapat menaiki podium itu adalah satu bonus.

"Saya harap mereka tidak mensiakan peluang yang diberi dan akan menggalas cabaran itu sebaik mungkin kerana itu merupakan platform mereka untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain