suria

Almeida Dilantik Ketua Jurulatih Akademi Bola Sepak Titans Muda

KUALA TERENGGANU: Bekas jurulatih skuad bawah 17 tahun kelab Benfica dari Portugal, Eduardo Almeida, dilantik sebagai ketua jurulatih dan pengarah teknikal bagi Akademi Bola Sepak Titans Muda.

Pelantikan oleh kerajaan negeri Terengganu itu sekali gus menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa Almeida bakal menggantikan jurulatih kelab T-Team, Peter James Butler.

Pelantikan jurulatih berusia 35 tahun itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan negeri dan Almeida di sini, Isnin.

Rozi berkata penubuhan akademi berkenaan turut mendapat kerjasama dengan Akademi Bola Sepak Benfica yang berpusat di Lisbon, Portugal.

"Kerajaan negeri telah lama berhasrat untuk mewujudkan akademi ini, cuma baru sekarang ianya menjadi kenyataan," katanya sambil menyatakan buat permulaan seramai 60 hingga 100 pemain akan menyertai akademi itu yang berpusat di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Akademi, dengan konsep 'Bola Sepak Untuk Semua', yang secara rasminya dibuka hari ini telah menerima permohonan daripada kanak-kanak berusia seawal enam dan 17 tahun.

Menurut Rozi, pengambilan pelajar akademi terbahagi kepada empat kategori iaitu sentuhan permulaan (6-9 tahun), awal (10-12 tahun), pertengahan (13-15 tahun) dan elit (16-17 tahun).

Selain mendapatkan modul latihan dan sokongan daripada kelab Akademi Benfica, Almeida akan turut dibantu seorang lagi rakannya dari kelab yang sama dalam mengendalikan akademi berkenaan.

Program akademi ini juga akan mengguna pakai pengalaman dan kemahiran bekas pemain Terengganu dan kebangsaan seperti Subri Sulong, Badrul Hisham Abdullah dan Tengku Alias Tengku Ibrahim.

"Adalah menjadi harapan kerajaan negeri pada suatu masa nanti akademi ini akan melahirkan pemain berkualiti bukan sahaja untuk T-Team, tetapi juga untuk pasukan negara," kata Rozi.

Sementara itu, Almeida berkata beliau bersemangat untuk mengendalikan program akademi itu dan sudah pasti akan mencurahkan pengalamannya untuk melatih anak muda tempatan.

"Saya menerima tawaran ini dengan hti terbuka dan akan membuktikan apa yang saaya boleh laksanakan di sini. Ssaya mempunyai banyak pengalaman menjadi jurulatih di negara lain dan mungkin akan mendapat pengalaman baik di sini. -BERNAMA

Artikel Lain