suria

Ahmad Sarji Beri Laluan Pemimpin Baru Terajui PLBM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) bakal mendapat presiden baharu apabila Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid memutuskan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 17 tahun lepas itu pada pemilihan jawatankuasa PLBM, Sabtu ini.

Setiausaha Kehormat PLBM, Ramble Dallan Rice-Oxley berkata, Ahmad Sarji telah menyatakan hasratnya itu pada mesyuarat majlis PLBM yang diadakan Februari lepas.

Pemilihan jawatankuasa PLBM akan diadakan semasa mesyuarat agung tahunan badan induk boling padang negara itu di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara di sini.

"Tun Ahmad Sarji membuat keputusan mengundur diri pada pemilihan jawatankuasa PLBM tahun ini setelah berpuas hati berjaya melonjakkan pembangunan sukan boling padang negara," kata Ramble ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Beliau berkata, beberapa individu telah menyatakan hasrat bertanding jawatan presiden PLBM itu.

Mengenai sumbangan Ahmad Sarji terhadap pembangunan boling padang negara, Ramble berkata, bekas ketua setiausaha negara itu telah berjaya menaikkan nama Malaysia di peringkat dunia di samping menyediakan kemudahan dan prasarana sukan boling padang bertaraf dunia di negara ini.

"Semasa memimpin PLBM, nama Malaysia juga semakin dikenali setelah Mohd Hizlee Abdul Rais muncul juara Kejohanan World Single Champion of Champions di Cyprus pada Oktober lepas," katanya.

Selain pemilihan jawatankuasa PLBM yang baharu, Ramble berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan cadangan pemindahan pusat boling di Bukit Kiara ke Putrajaya atau Puchong.

Beliau berkata, kerajaan akan menjadikan tapak pusat boling padang di Bukit Kiara yang digunakan sejak 17 tahun lepas itu sebagai akademi badminton.

"Pada masa sekarang, kami masih menunggu kata putus daripada Perbadanan Stadium Malaysia mengenai tapak baharu pusat boling padang negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain