Fatehah Raih Gangsa Dan Pecah Rekod Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Pelumba pecut wanita negara Fatehah Mustafa meraih pingat gangsa dalam acara pecut 500m individu wanita pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 (ACC 2013) di New Delhi, India, Ahad.

Pelumba dari Terengganu itu menamatkan perlumbaannya dengan memecahkan rekod kebangsaan di Velodrom Basikal Kompleks Sukan Indira Ghandi melalui catatan masa 35.581 saat.

Pingat emas acara tersebut milik pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze dengan catatan masa 34.310s.

Fatehah berkata beliau gembira kerana catatan yang dilakukannya memperbaharui rekod kebangsaan selain berupaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya pada ACC tahun lepas di Kuala Lumpur.

"Saya akan cuba untuk terus memperbaiki catatan masa yang dilakukan pada masa akan datang," katanya dipetik dalam kenyataan dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Ahad.

Ketua Jurulatih negara John Beasley yang turut dipetik dalam kenyataan itu berkeyakinan pelumba itu berupaya untuk 'mencantas' lagi masa tersebut.

"Saya percaya Fatehah akan terus memperbaiki catatan masa tersebut. Malah, saya pun agak terperanjat apabila Fatehah boleh menghampiri catatan masa pelumba Hong Kong itu," katanya.

Sementara itu, pelumba pecut lelaki negara Josiah Ng membuktikan kehebatan apabila berjaya menewaskan seteru senegara Mohd Azizulhasni Awang sekaligus menempah tiket ke separuh akhir acara pecut 200 meter individu lelaki.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 itu akan berdepan pelumba Korea Selatan, Choi Lae Seon yang telah mengejutkan jagoan China, Tang Qi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Saya Akan Cuba Lagi - Chong Wei

Artikel Berikut

Artikel Lain