All England 2013: Chong Wei Gagal Cipta Hatrik

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei gagal mempertahan gelaran juara perseorangan lelaki Kejohanan All England selepas kalah 17-21 dan 18-21 kepada Chen Long dari China di Birmingham Indoor Arena, England malam Ahad.

Pemain pilihan kedua itu terpaksa bekerja keras selama 62 minit untuk menundukkan Chong Wei, yang merupakan pemain pilihan utama kejohanan itu.

Kekalahan ini bermakna Chong Wei gagal mencipta kemenangan hatrik selepas memegang gelaran juara pada edisi 2011 dan 2010.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain pada tahun lepas, Chong Wei pernah mengalahkan Chen Long pada aksi separuh akhir temasya Sukan Olimpik London 2012 dan final Kejohanan Terbuka Malaysia Maybank pada tahun yang sama.

Chen Long pula sebelum ini pernah menundukkan Chong Wei pada final Kejohanan Terbuka Hong Kong 2012.

Sementara itu, pemain handalan Denmark Tine Baun muncul juara perseorangan wanita selepas mengalahkan Intanon Ratchanok dari Thailand 21-14, 16-21 dan 21-10.

Tine terpaksa bekerja keras untuk menyingkirkan Intanon apabila permainan berlarutan sehingga 'rubber set' dan mengambil masa 53 minit bagi menundukkan pemain Thailand itu.

Beregu lelaki China Liu Xialong-Qiu Zihan pula mengalahkan beregu Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 21-11 dan 21-9 dalam masa 39 minit.

China turut meraih gelaran juara menerusi beregu wanita apabila Wang Xiaoli-Yu Fang dengan mudah menundukkan rakan senegara Cheng Shu-Yunlei 21-8 dan 21-10 dalam pertarungan 27 minit. BERNAMA

Artikel Sebelum

Saya Akan Cuba Lagi - Chong Wei

Artikel Berikut

Artikel Lain