suria

Pemegang Kad Boleh Beli Tiket Pakej Khas RM200 Untuk Saksi F1

KUALA LUMPUR: Sepang International Circuit (SIC)menawarkan tiket pakej khas tiga hari bernilai RM200 untuk tempat duduk grandstand utama bagi menyaksikan perlumbaan Formula One (F1) Grand Prix Petronas Malaysia 2013, bulan depan.

Pakej khas tersebut ditawarkan mulai hari ini kepada pemegang kad-kad '1Malaysia Privilege Card', 'Kad Diskaun Siswa 1Malaysia', 'Kad Pesara Tentera', 'Kad Orang Kurang Upaya' dan 'Kad Skuad Pengguna'.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dalam kenyataan hari ini berkata tiket pakej khas itu berjumlah 5,000 unit bagi tempat duduk di Menara Utara, Menara Selatan, Topaz dan Citrine.

Bagaimanapun, tawaran itu tertakluk kepada pembelian terus di kaunter tiket di KL Sentral, Suria KLCC dan kaunter khidmat pelanggan di SIC.

Razlan berkata pemegang kad tersebut boleh membeli tiket pakej khas itu di lokasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat semasa karnival jerayawara F1.

Beliau setiap pemegang kad hanya boleh membeli sehingga empat tiket pakej khas dan perlu menunjukkan kad dan kad pengenalan diri semasa membuat pembelian.

Menurutnya, pemegang tiket tersebut juga boleh menghadiri konsert kumpulan rock lagenda, Gun N' Roses selepas tamat perlumbaan pada 24 Mac di SIC.

Tiket bagi tempat duduk grandstand kini dijual pada harga RM733 untuk zon Topaz dan RM553 bagi zon Citrine, Menara Selatan dan Menara Utara.

Perlumbaan pusingan kedua GP Dunia itu akan berlangsung di Litar SIC dari 22 hingga 24 Mac ini. - BERNAMA

Artikel Lain