suria

Gilap Kemahiran Bermain Golf di Akademi PGM -Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional Malaysia digesa memanfaatkan sepenuhnya Akademi Pemain Golf Profesional Malaysia (PGM) untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Semasa membuat gesaan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata akademi itu dapat membantu mereka menggilap kemahiran bermain mereka dan pelbagai aspek lain.

"PGM telah mewujudkan persekitaran kondusif yang membolehkan pemain golf berbakat Malaysia melakukan transformasi untuk menjadi atlet golf yang kompetitif," katanya semasa merasmikan Akademi PGM yang terletak di Kelab Golf Kinrara di Puchong, dekat sini pada Isnin.

Beliau sedar untuk melahirkan pemain golf bertaraf dunia, malahan juara peringkat serantau, bukannya tugas mudah.

"Dalam aspek tertentu, usaha pelbagai pihak diperlukan untuk memastikan Malaysia dapat melahirkan pemain golf hebat dan profesional," katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Presiden PGM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong. "Profesional tempatan perlu melihat di luar ruang lingkup kejayaan di negara sendiri atau jaguh kampung. Mereka perlu mengimpikan kejayaan di peringkat antarabangsa dan menyasarkan menjadi pesaing hebat di peringkat dunia dan menjadi yang terbaik dalam sukan ini," kata Muhyiddin.

Beliau menasihati kalangan profesional muda supaya berdisiplin dan memiliki kefahaman mengenai psikologi dan teknik permainan golf.

"Kami berharap pemain Malaysia akan menyertai ranking 10 pemain terbaik dunia di masa depan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kewujudan beberapa padang golf di negara ini mencerminkan betapa sukan itu semakin mendapat perhatian di negara ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan piala dan blazer PGM kepada juara Order of Merit Jelajah PGM 2012, Nicholas Fung. -BERNAMA

Artikel Lain