suria

FAM Tolak Permohonan PKNS Guna Khidmat Nazmi Faiz Lebih Awal

PETALING JAYA: Bintang muda negara Nazmi Faiz Mansor terpaksa menangguhkan hasrat beraksi dalam liga tempatan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak permohonan Selangor PKNS untuk menggunakan khidmat pemain itu lebih awal dalam kempen Liga Super.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata berdasarkan peraturan semasa, bekas pemain skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) itu perlu memiliki Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) sebelum mengemukakan permohonan.

Nazmi Faiz, 18, menamatkan kontrak tiga tahun dengan kelab divisyen satu Liga Portugal, SC Beira-Mar, selepas tujuh bulan untuk pulang beraksi dalam liga tempatan.

Kelmarin, Nazmi Faiz, mengesahkan status sebagai pemain baharu kelab Liga Super itu, selepas mengikat kontrak selama tiga tahun. Azzuddin berkata selain Sijil ITC, peraturan FAM menetapkan mana-mana pasukan tidak boleh menurunkan pemain baharu sehingga jendela perpindahan kedua dibuka dari 8 hingga 22 April ini.

Oleh sebab itu, kita terpaksa menolak permohonan PKNS untuk mendaftar Nazmi Faiz secara serta-merta kerana pendaftaran siri pertama perpindahan pemain Liga Malaysia tamat 6 Dis lepas, katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil PKNS, di Wisma FAM, di Kelana Jaya, di sini, Isnin.

Azzuddin juga berkata mengikut peraturan mana-mana pemain yang keluar dari kelab lain sama ada dalam negara atau luar negara perlu kembali ke kelab asal.

"Dalam hal ini, Nazmi Faiz...setelah meninggalkan kelab Portugal itu, beliau sepatutnya kembali kepada Harimau Muda A," jelasnya.

PKNS berhasrat menggunakan khidmat pemain itu pada aksi Liga Super yang bakal bersambung, menentang Felda United, di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, 16 Feb ini. Bagaimanapun, Azzuddin berkata perkara itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM.

Ditanya tentang tindakan mengejut Nazmi Faiz menamatkan kontraknya dengan kelab SC Beira-Mar, Azzuddin melahirkan rasa terkilan kerana pihaknya tidak dimaklumkan pemain itu sendiri, sebaliknya mengetahuinya menerusi media.

"Setelah berjumpa sendiri dengan Nazmi Faiz dan bapanya hari ini, kami menghormati keputusan yang dibuat mereka dan FAM tidak mempunyai hak menolak atau membantah segala keputusan yang telah diambil.

"Namun, saya berharap kejadian ini tidak mematahkan semangat mana-mana pemain yang ingin meneruskan karier serta bakat mereka di luar negara dengan mengambil perkara ini sebagai iktibar," katanya.

Pengurus pasukan PKNS Azmi Adnan berkata pihaknya akur dengan keputusan itu, namun bagi memastikan prestasi Nazmi Faiz tidak terjejas, kelab tersebut akan terus memberikan latihan kepada beliau sehingga pendaftaran kedua pemain baharu dibuka pada April. -BERNAMA

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain