suria

Setiausaha Politik MB Terengganu Menang Tanpa Bertanding Jawatan Presiden PHT

KUALA TERENGGANU: Setiausaha politik kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid menang tanpa bertanding jawatan presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT) dalam mesyuarat agung persatuan itu Ahad.

Setiausaha PHT, Sabri Salleh berkata Wan Ahmad Nizam yang juga timbalan presidden PHT mendapat laluan mudah setelah Datuk Hamzah Mohamad, presiden PHT sebelum ini, menarik diri daripada bertanding bagi penggal 2013.

Sabri berkata dua muka baru, iaitu Salah Pikri dan Zaki Mohd Noor masing-masing dilantik sebagai naib presiden satu dan dua tanpa bertanding.

Lapan anggota jawatankuasa (AJK) terdiri daripada muka lama dan baharu juga menang tanpa bertanding dalam mesyuarat yang dihadiri hampir 30 anggota itu, katanya kepada Bernama selepas mesyuarat itu.

Katanya kemungkinan beberapa wanita akan dilantik menduduki kerusi AJK apabila jawatankuasa baharu itu mengadakan mesyuarat pertama minggu depan.

Sabri berkata PHT berharap dengan pelantikan jawatankuasa itu, sukan hoki di Terengganu akan lebih mantap dan terus cemerlang pada masa depan terutama dalam mempertahankan kejuaraan Piala Razak dan Sukan Malaysia (Sukma) yang dimenangi tahun lepas.

Beliau berkata agenda utama PHT tahun ini ialah untuk menyertai buat julung kalinya liga Hoki Kebangsaan dan sedang dalam proses mengenal pasti pemain yang bakal menyarung jersi Terengganu dalam kejohanan tersebut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain