suria

Hadiah Lebih Besar, Luke Donald Jadi Berita Hangat Pada Terbuka Malaysia Edisi Ke-52

KUALA LUMPUR: Pemain golf nombor dua dunia, Luke Donald dari England akan membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia, Mac ini, kata penaja acara golf utama, Maybank.

"Pengesahan (penyertaan) Luke Donald sememangnya satu rangsangan bagi Maybank Terbuka Malaysia," kata pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Beliau juga mengumumkan semasa satu sidang akhbar bahawa hadiah wang bagi kejohanan dinaikkan kepada US$2.75 juta (kira-kira RM8.37 juta), meningkat US$250,000 (RM760,911.16) daripada kejohanan tahun lepas.

Edisi ke-52 kejohanan akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara pada 21 hingga 24 Mac.

Megat Zaharuddin berkata sejak penajaan diambil alih pada 2006, Maybank berusaha membawa personaliti golf bertaraf dunua ke Malaysia.

"Kehadiran Donald, seperti pemain-pemain handalan yang kita ada pada masa-masa lepas, bukan sahaja menarik kehadiran orang ramai tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta golf global.

"Dengan minat dan penonton yang semakin bertambah pada Maybank Terbuka Malaysia, kami bercadang meneruskan usaha memberi peluang kepada peminat tempatan dan pemain golf dengan peluang melihat aksi pemain terbaik dunia di padang golf kita, dalam proses itu, meningkatkan mutu golf di Malaysia," katanya.

Antara pemain golf berkaliber yang datang ke Malaysia ialah Rory McIlroy, Louis Oosthuizen, Matteo Manassero, Martin Kaymer, Charl Schwartzel, Charlie Wi dan Thongchai Jaidee.

Semasa ditanya mengenai tarikh kejohanan yang bertindih dengan Grand Prix Formula One Petronas 2013 (22-24 Mac), Megat Zaharuddin berkata sukan golf mempunyai peminat tersendiri dan begitu juga dengan Formula One.

"Kami ada berbincang dengan pihak Petronas untuk merancang penganjuran kedua-dua acara sukan ini supaya jika ada peminat dari luar negara yang meminati kedua-duanya dapat datang ke Malaysia.

"Namun, pada hari terakhir, terpulanglah kepada penonton berkenaan sama ada untuk memilih golf atau F1. Saya rasa sekiranya Luke Donald menguasai perlawanan, saya yakin ramai penonton akan datang ke sini (KLGCC)," katanya.

Donald, 35, yang memenangi Money Lists bagi kedua-dua kawasan Alantik pada 2011, telah terakru tujuh gelaran Jelajah Eropah termasuk kejayaan dalam acara utama Tour berturut-turut, kejohanan PGA BMW. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain