suria

TSG Tidak Sambung Kontrak Tiga Pelumba Import

KUALA TERENGGANU: Pasukan lumba basikal, Terengganu Cycling Team (TSG), tidak menyambung kontrak tiga pelumba importnya berikutan hasrat pelumba berkenaan untuk menarik diri selepas prestasi mereka merosot.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Nik Mohd Syahrom Nik Md Hashim, berkata kontrak pelumba Shinichi Fukushima dari Jepun serta Chan Jan Jae dan Kom Do Yhoung, kedua-dua dari Korea Selatan, tamat pada bulan lepas. "Kita tidak ada pilihan lain dan terpaksa melepaskan mereka daripada mewakili TSG dalam mengharungi musim baru kejohanan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini.

"Namun ruang pelumba import tetap akan diisi dan kita akan memilih seorang pelumba dari Asia tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Nik Mohd Syahrom berkata berikutan itu, TSG akan mempertaruhkan pelumba-pelumba tempatan untuk menghadapi beberapa kejohanan yang akan disertai TSG pada tahun ini. Katanya, TSG akan memikat pelumba-pelumba anak Terengganu yang beraksi dengan pasukan profesional lain dengan menawarkan kontrak kepada mereka.

Beliau berkata langkah itu perlu memandangkan TSG pada masa ini mempunyai hanya 10 pelumba setelah tiga pelumba import itu telah mengundur diri. "Kita memberikan tawaran kepada mereka dan kita harap mereka akan menerima tawaran kita itu demi mengharumkan nama negeri dalam arena sukan berbasikal," katanya.

Beliau berkata kejohanan terdekat yang akan disertai TSG musim ini ialah kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada bulan depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain