suria

Hari Ketiga: Olahraga Tumpuan Koleksi Emas Kontinjen Negara

VIENTIANE: Malaysia terus mengekalkan kedudukan teratas carta pungutan pingat dengan mengutip enam pingat emas pada hari ketiga temasya Sukan Universiti Asean (AUG 2012) di sini, Sabtu.

Olahraga, yang membuka tirai di Stadium Kompleks Sukan Nasional, menjadi penyumbang terbesar pingat kepada negara dengan empat emas disusuli penerjun wanita negara Cheong Jun Hoong dan pasukan Kumite wanita.

Malaysia mendahului 10 negara lain dalam carta pungutan pingat dengan koleksi 15 emas, 12 perak dan 16 gangsa diikuti rapat oleh Vietnam dengan pungutan 14-13-9.

Thailand menghuni tangga ketiga dengan 10-12-15 dan diikuti tuan rumah Laos dengan 10 emas, tujuh perak dan 15 gangsa.

Dalam acara olahraga, atlet Sukan SEA negara, Nurul Sarah Abdul Kadir mencipta kejutan apabila meraih gelaran ratu pecut AUG 2012 dengan mengatasi juara bertahan Sukan SEA 2011 Unani Serafi dari Indonesia dalam acara 100 meter.

Nurul Sarah merakamkan catatan 12.14s, iaitu kelebihan tipis 0.01s ke atas pencabar terdekat, Pimpika Kannikom dari Thailand manakala Unani merangkul gangsa dengan catatan 12.34s.

Selain Nurul Sarah, atlet muda, Jackie Wong Siew Cheer menyumbang pingat emas pertama dalam acara baling tukul besi manakala dua emas lagi menerusi Mohamad Arif Zulhilmi Alet (400m lelaki) dan Mohd Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang.

Selain kilauan emas, pasukan olahraga turut menyumbang tiga pingat perak menerusi Mohd Noor Imran Hadi bagi acara 100m lelaki, S.Kannathasan (400m lelaki) dan Mohd Amar Fitri Zainol (lompat kijang lelaki).

Pada hari terakhir di kolam renang Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional, Jun Hoong merangkul emas dalam acara 3m papan anjal individu dengan mengatasi rakan sepasukan Ng Yan Yee yang memperoleh pingat perak.

Di Gimnasium Chao Anouvong, skuad karate menutup tirai kejohanan dengan menambah satu emas menerusi acara kumite berpasukan wanita.

Secara keseluruhan skuad karate menyumbang tujuh emas, dua pingat perak dan lima pingat gangsa manakala skuad terjun pula mencapai sasaran empat emas dan dua perak.

Selain emas, sukan tenis hari ini menyumbang satu pingat perak menerusi acara berpasukan wanita, dua pingat perak dalam badminton (berpasukan wanita dan lelaki) dan tiga pingat gangsa dalam taekwondo. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain