suria

Hazwan Hazim Ungguli Pusingan Kelayakan Awal MMRC Di Pulau Duyong

KUALA TERENGGANU: Pasukan Permai Hotel Match Racing yang diketuai Hazwan Hazim Dermawan mengungguli pusingan kelayakan awal Sirkit Terakhir Match-Racing Malaysia (MMRC) 2012 di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong di sini Rabu.

Pada perlumbaan tiga hari bermula Rabu, pasukan Hazwan Hazim, yang merupakan juara MMRC 2009, membuat kejutan apabila menyapu bersih empat pusingan selepas menewaskan pasukan pilihan, juga juara bertahan (2010 dan 2011), Jeremy Koo dari KFC Malaysia/Koo Racing Team yang merupakan pendahulu dalam tiga sirkit sebelumnya.

Skiper kelahiran Johor berusia 25 tahun ini turut mengenepikan cabaran bekas juara MMRC edisi 2008, Nurul Ain Md Isa (Ri-Yaz Heritage Sailing), Masyuri Rahmat (Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1) serta pandatang baru, Mohd Saifullah Mohd Esa (Terengganu Sailing Team).

Seramai enam pasukan mengambil bahagian pada sirkit keempat tersebut bagi mendapatkan tiket 'wildcard' untuk menyertai Piala Monsun 2012 di Terengganu dari 3 hingga 8 Disember.

Pusingan kelayakan pertama akan diteruskan dengan masih berbaki lima pusingan dan dijangka tamat pada Khamis, bergantung kepada keadaan angin untuk meneruskan kelayakan seterusnya dan berakhir Jumaat ini.

Sementara itu, Hazwan Hazim berkata, pasukannya berjaya mengawal situasi dari awal perlumbaan hingga akhir dengan kurang melakukan kesalahan hingga memberikan kelebihan kepadanya untuk menewaskan pasukan lain.

"Cabaran sebenar ialah esok bagi menetukan tiket ke separuh akhir dan saya bersama krew akan bekerja keras bagi merebut peluang melangkah ke peringkat seterusnya.

"Kesilapan kecil boleh membuatkan kita tewas dalam sukan ini, maka saya perlu menang pada sirkit ini sekiranya mahu slot wildcard ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas tamat perlumbaan peringkat awal itu di sini Rabu.

Setakat ini, Jeremy masih menjadi pendahulu sirkit dengan mengumpul 69 mata setelah menang peringkat pertama dan dua MMRC di Lumut (11-13 Mei) dan Pulau Indah dekat Pelabuhan Klang (29 Jun hingga 1 Julai) dan diikuti Masyuri yang mengumpul 66 mata setelah menang pusingan ketiga di Tanjong Leman, Johor, (28-30 September).

Hazwan Hazim pula ketinggalan enam mata di belakang Masyuri dan masih dilihat mampu memberi saingan kepada dua pencabar di atas.

Pasukan yang mengutip keseluruhan mata tertinggi menerusi keempat-empat peringkat itu akan dinobatkan sebagai juara dan mewakili Malaysia pada Piala Monsun 2012. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain