suria

Pasangan Elit Memanah Kebangsaan Sumbang Emas Kepada UPM

KUALA LUMPUR: Pasangan elit memanah kebangsaan Arif Farhan Ibrahim Putra dan Shahirah Abdul Halim mempamer aksi cemerlang apabila menyumbangkan pingat emas kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam acara memanah Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).

Beraksi dalam acara berpasukan campuran (Pusingan Olimpik) Recurve di Stadium UPM, Serdang dekat sini, gandingan Arif Farhan-Shahirah ternyata berada dalam kelas tersendiri untuk menumpaskan Ahmad Syafiq Azim Saeri dan Adibah Tajuddin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menduduki tempat kedua, dengan mata 7-2. Adrian Tangnga-Siti Nurul Asiah Mahmod dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula meraih gangsa selepas mengalahkan Mohd Hanif Abdul Manan-Nor Huda Zolkifli dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 12-4.

"Kami berdepan saingan sengit kerana kebanyakan pasukan menghantar atlet memanah yang mewakili negeri. Sasaran saya selepas ini adalah meraih emas dalam acara individu recurve esok," kata Arif Farhan.

Sementara itu, pasangan Ahmad Aliff Fadhullulah Alwi-Fatin Nurfatehah Mat Salleh dari UiTM turut meraih pingat emas dalam acara berpasukan campuran (Pusingan Olimpik) Compound setelah menewaskan Mohd Hakhiki Mohd Kamro-Fatin Nadira Hassin dari UniSZA 12-3. Gandingan Azizul Azri Abdul Azis-Saritha Cham Nong dari UPM pula memenangi gangsa selepas mengenepikan cabaran Koo Chi Haw-Sie Wei Fong dari Universiti Sains Malaysia (USM) 8-3. -BERNAMA

Artikel Lain