suria

Abdul Hadi Akui Sedia Berhijrah Demi Karier

KUALA TERENGGANU: Setelah menabur bakti selama dua tahun di Terengganu, akhirnya penyerang berbisa Abdul Hadi Yahya bersedia untuk berhijrah untuk bersama pasukan lain, demi memajukan karier bola sepaknya.

Malah, pemain berusia 27 tahun ini menolak khabar angin bahawa beliau meninggalkan kem Terengganu atas desakan pihak tertentu sebaliknya mengakui keputusan dibuat atas kerelaannya sendiri.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Klang, Selangor itu tetap menyimpan hasrat untuk kembali ke bumi Penyu ini, sekiranya ditawarkan menyarung kembali jersi negeri ini, suatu hari nanti.

"Saya akui masih sayangkan bumi Terengganu dan saya mengucapkan terima kasih terutama sekali kepada penyokong Terengganu yang sentiasa menyokong saya.

"Berat rasa hati hendak meninggalkan skuad Penyu, namun saya telah memutuskan untuk berhijrah bagi menabur bakti bersama pasukan lain selepas ini," katanya ketika ditemui Bernama, di sini Ahad.

Bapa kepada dua cahaya mata ini melahirkan rasa syukur kerana dapat menabur bakti bersama skuad Penyu sejak 2010, serta dilayan dengan baik pihak pengurusan dan rakan seperjuangan.

Abdul Hadi yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super 2011 berjaya meledakkan 20 gol, sekali gus melayakkan beliau menggondol anugerah kasut emas dan seterusnya membantu skuad Terengganu muncul naib juara di belakang pendahulu liga, Kelantan.

Beliau merupakan antara, 10 senarai pemain tonggak Terengganu yang dilepaskan atas persetujuan bersama, manakala dua pemain import ditamatkan kontrak musim depan, dalam keputusan mesyuarat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Rabu lepas.

Tujuh lagi pemain yang dilepaskan atas persetujuan ialah penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Abdul Shukur Jusoh, Reeshafiq Alwi, Joseph Kalang Tie (pemain tengah), Hariri Mohd Safii, Mohd Muslim Ahmad (pertahanan) dan Md Ailim Fahmi Kamaruddin (penyerang).

Sementara dua pemain import yang ditamatkan kontrak musim depan ialah Francis Forkey Doe (Liberia) dan Erison Da Silva (Brazil). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain