suria

30 Pemain Dipanggil Hadapi Piala VFF Newspaper Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih bawah 21 tahun (B-21) negara Ong Kim Swee memanggil 30 pemain sebagai persiapan menghadapi Piala VFF Newspaper di Gia Lai, Vietnam dari 11-22 Oktober depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kesemua pemain dikehendaki hadir ke Wisma FAM di Kelana Jaya untuk sesi latihan dan pemilihan yang akan bermula dari 1 hingga 10 Oktober ini.

Antara pemain yang dipanggil ialah Adam Nor Azlin dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Mohd Nuridzuan Abu Hassan dan D. Kenny Pallraj (Perak), Mohd Rozaimi Abdul Rahman (Sabah), Muhammad Zubir Mohd Azmi (Terengganu) serta Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari kelab PKNS Selangor.

Pemain lain ialah Muhammad Syazwan Yusof (Kelantan), Muhammad Syafwan Syahlan (Kuala Lumpur), Zulfadhli Mohamad (Johor) dan Syazuan Hazani dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kenyataan itu juga menyatakan Ong turut memanggil 18 pemain pasukan Harimau Muda A serta dua pemain pasukan Harimau Muda B untuk memperkuatkan skuad B-21 negara bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Malaysia menyertai kejohanan tahunan itu sejak 2008 dan pencapaian terbaik mereka ialah pada 2010 iaitu mara ke separuh akhir sebelum tumpas 0-1 kepada skuad bawah 19 tahun Vietnam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain