Enam Negara Akan Berentap Rebut Piala Sultan Johor - Sukan | mStar

Enam Negara Akan Berentap Rebut Piala Sultan Johor

JOHOR BAHARU: Enam pasukan akan berentap di Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di sini dari 11 hingga 18 November.

Pasukan-pasukan tersebut ialah Malaysia, Australia, New Zealand, Pakistan, India dan Jerman.

Kejohanan itu merupakan platform terbaik bagi persediaan menghadapi Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap pasukan negara akan dapat mempertahankan kejuaraan di dalam kejohanan itu.

"Saya harap pasukan kita akan dapat mengekalkan gelaran kerana kita adalah juara bertahan. Ini adalah pasukan masa depan kita dan saya percaya mereka mampu melakukannya," kata beliau. Tengku Abdullah menegaskan demikian pada sidang akhbar pelancaran kejohanan tersebut oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini, Sabtu.

Tahun lalu, Malaysia berjaya menundukkan Australia dengan 3-2 pada masa tambahan sekali gus muncul juara sulung kejohanan tersebut.

Pengurus pasukan Malaysia, Mirnawan Nawawi menjangkakan tugas mempertahankan kejuaraan itu pasti sukar dengan kehadiran Jerman yang pernah memenangi Piala Dunia Remaja sebanyak lima kali iaitu pada 1979, 1982, 1985, 1989 dan 2009.

Tiga daripada kemenangan itu diperolehi di bumi Malaysia iaitu Kuala Lumpur (1982); Ipoh (1989); dan Johor Baharu (2009).

Kejohanan yang diiktiraf Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mendapat tajaan bernilai lebih RM1 juta daripada kerajaan Johor, Genting Berhad, UEM Land selain Kementerian Belia dan Sukan, Johor Corporation, Tenaga Nasional Berhad, SAJ Holdings Sdn Bhd, Iskandar Waterfront, Central Malaysian Properties dan F& NBeverages. -BERNAMA

Artikel Berikut

FAM Alu-Alukan Rayuan Daripada Butler

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel