suria

Atlet Negara Perlu Hayati Semangat Atlet Zaman Awal Kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Atlet masa kini perlu mencontohi semangat cintakan negara sebagaimana yang ditunjukkan oleh atlet zaman awal kemerdekaan sebagai pembakar semangat untuk lebih bersungguh-sungguh meraih kejayaan besar di pentas sukan dunia, kata tokoh sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Khoo berkata, beliau tidak pasti apakah perasaan yang terdapat dalam diri atlet negara pada hari ini, namun apa yang pasti atlet pada zaman era 50-an bertanding untuk menang dan tidak akan bertanding jika tahu mereka akan kalah.

"Atlet dahulu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang luar biasa dan oleh itu mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara walaupun terpaksa melalui jalan sukar untuk meraih sesuatu kejayaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pada tahun kemerdekaan pertama iaitu pada tahun 1957, Malaysia berjaya memenangi Kejohanan Badminton All England menerusi Datuk Eddy Choong yang beraksi dalam acara perseorangan lelaki.

"Pada masa itu tiada siapa yang sanggup memberi tajaan kepada atlet negara dan oleh yang demikian atlet terpaksa bekerja keras mencari sumber kewangan sendiri dengan cara menyertai kejohanan di setiap daerah.

"Malah setelah pulang ke tanah air menerusi kapal laut, mereka sekali lagi bermain ke setiap daerah bagi mengisi dana persatuan.

"Ia cukup berbeza dengan atlet pada masa ini yang lebih selesa, menerima pelbagai kemudahan dan tajaan berbanding atlet dahulu," katanya.

Khoo berkata semangat cintakan negara melebihi segala-galanya bagi atlet dahulu kerana bagi mereka, tugas untuk membangunkan negara adalah tanggungjawab semua warga negara tidak kira bidang apa sekalipun.

Beliau berkata pada satu ketika dulu rakyat Malaysia sangat cintakan sukan dan setiap petang, padang di setiap daerah pasti penuh dengan aktiviti sukan seperti badminton, hoki dan bola sepak yang cukup terkenal ketika itu.

"Keadaan seperti itu tidak lagi kelihatan pada hari ini kerana corak pemikiran masyarakat telah berubah apabila semangat cintakan negara semakin pudar dalam hati mereka.

"Usaha untuk mengembalikan semangat sedemikian perlu segera dihidupkan agar nama Malaysia kembali digeruni oleh dunia dan ia perlu dilakukan secara bersepadu bermula di peringkat masyarakat," katanya.

Beliau berkata pengertian Merdeka dalam konteks hari ini ialah usaha secara bersama antara semua warga negara untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berupaya untuk berdiri dengan kaki sendiri tanpa mengharapkan pergantungan daripada orang lain.

Sementara itu Raja Bola, Tan Sri Abdul Ghani Minhat berkata pada zamannya, pasukan kebangsaan bermain bersungguh-sungguh kerana ingin mencurahkan bakti kepada negara tanpa mengharap sebarang habuan.

"Kami bermain atas kehendak diri sendiri untuk mengharumkan nama negara biarpun terpaksa bersusah payah kerana semangat untuk menang sering ada dalam diri tanpa mengira apa kejohanan sekalipun," katanya.

Beliau berkata hadiah paling besar diperolehnya daripada Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika itu adalah seutas jam tangan setelah berjaya menjuarai Pesta Bola Merdeka pada tahun 1958.

"Ia adalah hadiah yang cukup berharga bagi kami kerana ia adalah satu pengiktirafan yang cukup besar bagi saya dan rakan-rakan ketika itu," katanya.

Abdul Ghani, 77, menceritakan pengalamannya ketika mewakili negeri Selangor pada tahun 1950-an terpaksa berada seharian dalam gerabak kereta api ke Pulau Pinang semata-mata untuk mengikuti kejohanan Piala Malaya ketika itu.

"Kerana kepayahan tersebut beliau dan rakan-rakan sepasukannya berusaha sedaya upaya untuk menang," katanya.

Beliau berkata pada ketika itu pemain skuad kebangsaan hanya diberi eluan RM10 sehari namun kerana cintakan bola sepak, mereka tidak pernah mempertikaian perkara tersebut.

"Kami tidak pernah terfikir main untuk terima habuan sebaliknya kami bermain untuk menang," katanya lagi.

Bekas ratu pecut jarak sederhana yang terkenal pada era 80-an , V. Angamah pula berkata kunci kejayaan atlet adalah keinginan untuk menang tanpa menyalahkan mana-mana pihak jika gagal.

"Sekiranya gagal memang saya tidak tenteram selagi tidak dapat kenal pasti apakah kesilapan yang ada pada diri saya dan hanya akan rasa lega apabila dapat atasi kelemahan yang menyebabkan saya kalah dalam sesuatu kejohanan," katanya.

Pemenang pingat emas bagi acara 800m Wanita dan 4x400m Wanita di Sukan SEA Manila pada tahun 1981 itu berkata semangat kenegaraan yang terdapat pada atlet zamannya tidak dapat dilihat pada atlet sekarang.

Angamah, 57 tahun berkata atlet tidak digalakkan terlibat dalam politik persatuan sukan kerana tugas tersebut terletak pada bahu pentadbir persatuan dan tugas atlet adalah untuk memenangi pingat dalam kejohanan.

"Saya harap minda dalam atlet olahraga kini perlu diubah agar meraka lebih fokus kepada tanggungjawab mereka sebagai atlet negara," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain