suria

20 pasukan Sertai Cabaran Sukan Menyelamat Nyawa Antarabangsa Ketiga

GEORGE TOWN: Orang ramai dijemput menyaksikan Cabaran Sukan Menyelamat Nyawa Antarabangsa-Pulau Pinang Malaysia 2012 anjuran Persatuan Menyelamat Nyawa Malaysia (LSSM) di Kelab Renang Pulau Pinang pada 25 dan 26 Ogos ini.

Setiausaha kehormat LSSM Geh Thuan Tek berkata acara itu boleh memupuk kesedaran dan memberi maklumat kepada orang ramai tentang kemahiran asas berkaitan keselamatan di kawasan berair.

"Acara ini boleh mendidik orang ramai betapa peralatan ringkas seperti tuala, bekas mengisi minyak dan tali boleh menyelamat nyawa dan membantu mengurangkan kes lemas," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja memasang pukat obor-obor di kawasan pertandingan di sini hari ini.

Pukat berukuran 350m panjang dan 4.63m lebar berharga RM10,000 itu boleh meminimumkan risiko sengatan obor-obor bagi mengelak berulangnya kes peserta mengalami kecederaan pada kejohanan sebelum ini.

"Peserta perlu menyempurnakan 10 acara, termasuk renang berhalangan (200m dan 100m), manikin carry (50m), rescue medley (100m), manikin tow with fins (100m), super lifesaver 200m, manikin relay (4x25m), renang berhalangan (4x50m) dan medley relay (4x50m) untuk menjadi juara.

"Ia akan dibahagi kepada dua kategori - kolam dan laut - dan kejohanan ini akan menjadi acara pemanas badan bagi Kejohanan Menyelamat Nyawa Sedunia (Rescue 2012) di Adelaide, Australia dari 4 hingga 18 Nov," kata Geh.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah Singapura dan Thailand, manakala setakat ini, 20 pasukan telah mengesahkan penyertaan masing-masing.

Maklumat lanjut tentang kejohanan ini boleh didapati dengan menghubungi Geh melalui talian 019-4455166.-BERNAMA

Artikel Lain