suria

Tiga Pemain Negara Beraksi Di Kejohanan Vietnam Futures

KUALA LUMPUR: Tiga pemain tenis negara Ahmed Deedat Abdul Razak, Ariez Elyaas Deen Hesham dan juara baharu Sirkit Kebangsaan Malaysia BMW Syed Aqil Syed Naguib akan beraksi pada Kejohanan Tenis ITF Vietnam F4 Futures dan Vietnam F5 Futures di Binh Duong dari 10-16 Sept dan 17-23 Sept ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Ibrahim Abu Bakar berkata, sirkit itu adalah sebagai kejohanan pemanas badan kepada ketiga-tiga pemain berkenaan, yang berkemungkinan besar layak menerusi wildcard menyertai Jejalah Dunia ATP Terbuka Malaysia 2012 yang akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dari 22-30 Sept.

"Ketiga-tiga pemain ini perlu mengambil kesempatan pada dua kejohanan itu sebagai persiapan menghadapi Terbuka Malaysia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kejohanan Vietnam Futures yang menawarkan hadiah USD10,000 (RM31,210) adalah sebahagian daripada Sirkit Lelaki Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), iaitu sirkit yang menyediakan tahap kemasukan ke kejohanan profesional dan membolehkan pemain bersaing di peringkat lebih tinggi dalam Jelajah Dunia ATP.

Ibrahim berkata dengan menyertai dua kejohanan itu akan membantu pemain-pemain berkenaan memperbaiki ranking mereka.

Ahmad Deedat dan Ariez Elyaas gagal mara ke undian utama Terbuka Malaysia tahun lepas selepas tumpas pada perlawanan pertama mereka di pusingan kelayakan acara perseorangan dan beregu.

"Secara realistik, standard tenis kita masih jauh ketinggalan daripada tahap profesional. Bagaimanapun, saya berharap selepas empat tahun menganjurkan kejohanan ini (Terbuka Malaysia), peman-pemain muda akan menampilkan peningkatan," katanya.

Ibrahim berkata setakat ini, penganjur telah menyediakan empat slot kepada pemain tempatan untuk beraksi pada kejohanan tersebut.

"LTAM kini dalam proses meminta slot kelima. Saya rasa peluang kita baik untuk mendapatkan slot tambahan itu kerana hubungan baik yang sedia terjalin antara kita dan penganjur," katanya.

Antara bintang tenis yang bakal bersaing pada kejohanan itu ialah pemain nombor lima dunia David Ferrer dari Sepanyol, pemain nombor ke-18 dunia Kei Nishikori dari Jepun, Juan Monaco (Argentina) dan Alexandr Dolgopolov (Ukraine).- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain