suria

Badminton: Chong Wei Mahu Terus Beraksi Di Olimpik

Chong Wei menunjukkan pingat perak yang dimenanginya pada Sukan Olimpik 2012, London.
Chong Wei menunjukkan pingat perak yang dimenanginya pada Sukan Olimpik 2012, London.
Chong Wei menunjukkan pingat perak yang dimenanginya pada Sukan Olimpik 2012, London.

SEPANG: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata, beliau mahu terus beraksi pada Sukan Olimpik berikutnya di Rio de Janeiro, Brazil.

Menurutnya, ini merupakan satu kemungkinan sekiranya beliau tidak mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak pada Olimpik London 2012 itu berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, kedua-duanya pada 2014.

"Saya akan tengok prestasi saya dua tahun selepas ini, kalau tidak mengalami kecederaan yang serius saya akan ke Olimpik 2016.

"Saya juga mahu lupakan kekecewaan di Olimpik London...terus ke hadapan dan fokus pada kejohanan dunia selepas ini," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Kepulangan Chong Wei ke tanah air disambut meriah oleh lebih 1,000 peminat yang mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan kata-kata sokongan kepada pemain perseorangan utama negara itu.

Pada perlawanan akhir perseorangan lelaki di Wembley Arena Ahad lepas, Chong Wei kecundang 21-15, 10-21 dan 19-21 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China.

Ketibaan Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Meskipun gagal merebut pingat emas, pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu tetap berpuas hati dengan persembahannya di London.

"Saya berpuas hati dengan prestasi kali ini. Saya hanya membuat latihan penuh dua minggu sebelum ke Olimpik. Jika dibandingkan prestasi semasa kejohanan dunia, saya rasa prestasi saya di Olimpik lebih baik," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain