suria

Brunei Tidak Akan Sertai Liga Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) tidak akan menghantar pasukannya untuk menyertai Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden NFABD Datuk Paduka Abdul Rahman Mohiddin dipetik oleh laman web Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), sebagai berkata Brunei sebaliknya akan menumpukan terhadap pembangunan sistem liga mereka sendiri dan membina sebuah pasukan kuat untuk pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF 2012 Oktober ini.

"Kami menulis surat untuk bertanya mengenai penyertaan dalam Liga M dan mereka (Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)) memberikan terma dan syarat mereka yang perlu dikaji dan dibincangkan lebih lanjut oleh jawatankuasa eksekutif NFABD mengenai implikasi terma dan syarat yang ditetapkan itu," kata Abdul Rahman.

Brunei sebelum ini mengemukakan pertanyaan mengenai bermain dalam Liga M, menyatakan hasrat untuk mendapatkan akses terus ke divisyen pertama iaitu Liga Super Malaysia. Namun FAM menyatakan pada 2013, semua kemasukan baru perlu melalui proses bermula di divisyen tiga Liga Perdana.

Presiden Kehormat NFABD Putera Sufri Bolkiah baru-baru ini berkata bermain dalam Liga M merupakan pendedahan baik bagi Brunei.

"Jika kita mahu tingkatkan prestasi, kita perlu (kaji untuk bermain dalam Liga Malaysia). Lagi banyak mereka bermain di luar negara, mereka akan menjadi lebih baik," katanya.

Satu-satunya kelab profesional Brunei iaitu kelab DPMM FC kini bermain di Singapura (Liga-S).

Pasukan Brunei sebelum ini pernah mengambil bahagian dalam Liga Malaysia di mana mereka pernah muncul juara Piala Malaysia pada 1999. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain