suria

India Jadikan Piala Sultan Azlan Shah Persiapan Ke Olimpik London

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki India akan jadikan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah dari 24 Mei sehingga 3 Jun ini sebagai sebahagian daripada persiapan mereka menghadapi cabaran di temasya Olimpik London.

Ketua jurulatih mereka, Michael Nobbs berkata kejohanan di Ipoh itu akan menjadi medan terbaik untuk beliau memilih pemain menyerlah bagi menwakili India di temasya sukan terbesar di dunia itu.

"Kami bercita-cita menjadi antara enam pasukan pemenang terbaik di temasya Olimpik dan untuk kejohanan tahun ini, saya mengambil keputusan tidak menghantar skuad yang terbaik yang kita ada kerana saya belum lagi membuat pemilihan.

"Saya ingin memberi setiap orang peluang untuk dipilih dalam pasukan (India) bermain dalam temasya Olimpik nanti," katanya kepada pemberita sebelum bertolak ke Ipoh, Perak, menaiki perkhidmatan kereta api ETS dari stesen kereta api Kuala Lumpur, di sini, Isnin.

ETS menjadi pengangkutan rasmi bagi kejohanan hoki lelaki yang berprestij itu.

Jurulatih berusia 58 tahun dari Australia itu berkata beliau tidak mahu menetapkan sasaran khusus bagi kejohanan tahun ini kerana mereka lebih memfokuskan terhadap persiapan ke Olimpik.

"Kami akan cuba memenangi kejohanan ini, namum matalamat akhir masih lagi sukan Olimpik kerana melihat kebanyakan pasukan yang layak ke temasya Olimpik itu akan bertarung dalam kejohanan besar ini, termasuklah New Zealand dan Great Britain," katanya.

Nobbs, yang pernah bermain bagi pasukan Australia di awal tahun 80an sebagai pemain penyerang di barisan tengah, memuji skuad muda Malaysia kerana persembahan cemerlang memenangi buat pertama kalinya Piala Belia Asia di Melaka.

"Malaysia mempunyai pemain muda yang baik dan ramai di kalangan mereka berupaya mewakili negara di masa akan datang," katanya.

Ketua pasukan India, Bharat Chetri berkata kejohanan di Ipoh itu akan memberi pendedahan yang baik kepada pemain muda mereka kerana adanya tahap pertandingan yang tinggi di kejohanan itu.

Beliau yang berusia 30an bermain sebagai penjaga gol, memuji strategi taktik yang digunakan Nobb sejak dia dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan India tahun lepas.

Selain India yang pernah sebelum ini menjuarai kejohanan itu sebanyak lima kali - 1985, 1991, 1995, 2009 dan 2010 - temasya hoki itu juga disertai oleh Great Britain, New Zealand, Korea Selatan, Pakistan, Argentina dan Malaysia sebagai tuan rumah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain