suria

Wartawan Kesal Sikap Penyokong Kelantan

KUALA LUMPUR: Wartawan yang membuat liputan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam, kesal dengan sikap biadap segelintir penyokong 'The Red Warriors'.

Wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Dayne Azmin berkata beliau sangat kecewa melihat sikap penyokong Kelantan itu yang tidak profesional dengan membaling botol minuman dan bekas makanan ke arah tempat media di aras dua stadium berkenaan.

"Pada separuh masa pertama, penyokong Kelantan membaling botol air sehingga terkena skrin laptop saya. Mereka kemudian bertindak lebih agresif dengan membaling bekas penyembur rambut ketika meraikan gol (oleh Mohammed Ghaddar) sehingga hampir terkena kepala namun saya sempat tepis.

"Bagi saya, tindakan seumpama itu merupakan suatu perkara yang tidak matang dan jelas tidak mencerminkan semangat kesukanan yang sebenar," katanya.

Muhammad Dayne berkata beliau pernah mengadukan mengenai isu keselamatan tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, namun badan induk bola sepak negara itu menyatakan perkara tersebut terletak di bawah tanggungjawab Perbadanan Stadium Malaysia.

Wartawan Berita Harian Mohd Fitrie Muhamad pula berkata beliau hampir terkena bekas makanan yang dibaling dari aras tiga stadium itu.

"Mereka sebagai penonton harus bersikap profesional ketika memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka dan bukannya mencampakkan sebarang objek kepada kami walhal mereka tahu kami sedang membuat liputan perlawanan," katanya.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa ketika dihubungi Bernama berkata beliau kesal dengan kejadian itu kerana pegawai FAM sendiri memberi jaminan kepadanya mengenai soal keselamatan terhadap media, semasa beliau mengikuti lawatan ke stadium tersebut pada Selasa lepas.

"Penyokong bola sepak tidak sewajarnya menjadikan petugas media sebagai sasaran kemarahan kerana mereka perlu tahu bahawa kita mempunyai tugas untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau meminta FAM menilai kembali prosedur keselamatan bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.

"Saya akan kumpulkan semua pendapat daripada petugas media yang terlibat sewaktu perlawanan tersebut sebelum menghantar surat kepada FAM untuk tindakan lanjut daripada mereka," katanya. Pada perlawanan itu, Kelantan muncul juara selepas menumpaskan Sime Darby 1-0. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain