suria

Baki 6,000 Tiket Final Piala FA Dijual Pada Sabtu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 79,000 tiket perlawanan akhir Piala FA antara Sime Darby dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam Sabtu, sudah dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, baki 6,000 tiket perlawanan itu akan dijual kepada peminat di sekitar Lembah Klang di kaunter Stadium Nasional, bermula pukul 10 pagi Sabtu.

"Kita yakin dengan sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan ini, baki tiket tersebut akan habis dijual esok," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan perlawanan akhir Piala FA di sini, Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Salleh Mat Rashid berkata, pihaknya akan mengetatkan kawalan di kawasan stadium bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, turut mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak membawa bahan larangan seperti mercun dan bunga api kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang berdegil.

"Penyokong kedua-dua pasukan juga diingatkan supaya tidak mempamerkan kain rentang berunsur hasutan atau berdepan dengan tindakan tegas daripada polis," katanya.

Beliau berkata, pintu stadium akan mula dibuka bermula pukul 4 petang dan penyokong kedua-dua pasukan dinasihatkan untuk masuk mengikut pintu yang ditetapkan.

"Bagi penyokong Kelantan, mereka akan masuk melalui pintu berwarna biru, ungu dan hijau manakala penyokong Sime Darby akan masuk melalui pintu merah dan kuning," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain