suria

Abdul Halim Perbaharui Dua Rekod Asia Di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Atlet junior Abdul Halim Baharuddin berjaya mengukir sejarah tersendiri dengan memperbaharui satu lagi rekod Asia dalam acara 1,500m kategori T38 (Palsi Serebrum) pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia di sini, Khamis.

Atlet berusia 17 tahun itu mencatatkan masa 5:24.54s iaitu mengatasi rekod berusia sembilan tahun milik atlet paralimpik Iran, Vahid Iranmanesh dengan catatan 5:53.55s di Mashrad, Iran, pada 2003.

Sebelum ini atlet kelahiran Kedah itu mempebaharui rekod Asia bagi acara 800m lelaki dengan catatan 2:34.21s, memperbaharui rekod yang sebelum ini dipegang oleh Dastkouhi Mohsen dari Iran dengan catatan 2:42.90s di Mashrad, Iran pada 2003.

Abdul Halim berkata beliau berasa bangga dengan kejayaan tersebut dan ianya adalah hasil usaha dan bantuan tunjuk ajar dari jurulatihnya Ahmad Omar yang banyak membantunya mempersiapkan diri dalam masa tiga bulan sebelum kejohanan ini.

"Saya rasa gembira dengan kejayaan hari ini dan berharap mampu melakukan aksi yang lebih baik pada perlumbaan esok dalam acara 400m bersaing bersama atlet elit paralimpik negara, Krishna Kumar Haridas," katanya kepada Bernama di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Walaupun berjaya memperbaharui dua rekod Asia, Abdul Halim tidak dapat disenarai dalam skuad negara ke temasya Paralimpik London 2012 kerana namanya belum didaftarkan dengan Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Sementara itu, jurulatihnya Ahmad Omar berkata beliau tidak kecewa kerana anak didiknya tidak dapat mewakili negara ke Paralimpik London 2012 sebaliknya bangga dengan pencapaian yang ditunjukan oleh Abdul Halim.

"Mungkin kali ini belum tiba rezeki adik Abdul Halim untuk beraksi di London namun saya rasa gembira apabila beliau mencapai semua sasaran pada kejohanan kali ini," katanya.

Ahmad, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Olahraga Para Malaysia (PPOPM), berkata kekurangan pakar dalam pemilihan atlet paralimpik menyebabkan ramai atlet berpotensi tidak mendapat peluang untuk menunjukkan bakat mereka.

"Saya harap untuk masa depan lebih ramai atlet yang berbakat diberi pulang untuk mempamerkan bakat mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain