suria

All England: Chong Wei Semakin Hampiri Hatrik

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei menghampiri sasaran hatrik kejuaraan All England apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir di Birmingham, England, Sabtu malam.

Juara bertahan nyata cemerlang apabila mengalahkan pencabarnya dari Korea Selatan, Lee Hyun Il dengan 21-19 dan 21-18 dalam masa 45 minit pada pusingan separuh akhir.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia, dijangka bertemu dengan musuh ketatnya dari China, Lin Dan atau perseorangan dari Jepun, Kenichi Tago dalam perlawanan akhir kejohanan berprestij itu pada Ahad malam.

Kemenangan Chong Wei itu juga mendapat sokongan padu dan sorakan gemuruh daripada rakyat Malaysia yang berada di National Indoor Arena, Birmingham.

Sementara itu, beregu campuran dari Denmark, Thomas Laybourn/Kamilla Rytter Juhl berjaya menumpaskan juara bertahan Xu Chen/Ma Jin dengan 'straight set' 21-16 dan 21-18 pada pusingan separuh akhir.

Thomas/Kamilla dijadualkan bertemu beregu campuran dari Malaysia, Goh Liu Ying/Chan Peng Soon atau beregu campuran Indonesia, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir pada pusingan akhir Ahad.

Goh/Chan dan Tontowi/Liliyana akan berentap malam ini bagi menempah slot ke final.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain