suria

FAM Kecewa Jawapan Eaton Mengenai Skandal Atur Perlawanan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kecewa dengan jawapan bekas Ketua Pegawai Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Chris Eaton mengenai dakwaannya yang mengaitkan badan induk bola sepak negara dengan skandal mengatur perlawanan Liga Malaysia baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan disiarkan oleh Straits Times Singapura pada 16 Feb lepas, Eaton mendakwa pegawai pentadbiran FAM turut terlibat dalam gejala mengatur perlawanan termasuk yang membabitkan Lions XII dengan Negeri Sembilan di Singapura baru-baru ini yang menyaksikan Lions XII menang 3-1.

FAM dalam satu kenyataan hari ini berkata Eaton hanya menjelaskan kenyataan beliau dibuat berdasarkan dakwaan oleh pihak tertentu dan penyiasatan masih dijalankan oleh FIFA.

"Beliau (Eaton) tidak menjelaskan tentang dakwaan itu mahupun mengenai pihak yang membuat dakwaan yang dimaksudkan," menurut FAM menerusi Jawatankuasa Integritinya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Eaton di Wisma FAM di Petaling Jaya, dekat sini, Isnin.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat.

Perjumpaan tertutup yang turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Risikan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Shamshun Baharin Mohd Jamil dan wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) diadakan bagi mendapatkan penjelasan daripada Eaton mengenai dakwaaan terhadap FAM itu.

Eaton yang diiringi oleh pegawai penyiasatan FIFA Terry Steans dan Ketua Pegawai Keselamatan FIFA bagi rantau Asia Michael Pride turut memaklumkan kepada FAM bahawa beliau kini telah meninggalkan badan induk bola sepak dunia itu untuk menyertai sebuah agensi di Qatar. BERNAMA

Artikel Lain