suria

Pahang Rampas Sementara Kedudukan Pendahulu Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Pahang merampas sementara kedudukan pendahulu Liga Perdana dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas mengalahkan MP Muar, 5-1 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh malam Jumaat.

ATM hanya akan turun bertemu wakil Pulau Pinang, USM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Isnin ini.

Pada perlawanan tersebut, pasukan Pahang yang dibimbing Dollah Salleh dikejutkan dengan jaringan penyerang lawan Mohd Alafi Mahmud pada minit ke-15.

Bagaimanapun, Pahang menyamakan kedudukan menerusi Mohd Hazuan Mohd Daud pada minit ke-45.

Pahang bertindak pantas sebaik bermula babak kedua perlawanan apabila menyumbang empat lagi gol menerusi Mohd Faizol Hussin (minit ke-50), Boris Kockhin (minit ke-74), Azamuddin Mohd Akil (minit ke-75) dan Eduard Sakhenvich pada minit ke-89.

Kemenangan tersebut membolehkan Pahang mendahului kedudukan carta liga dengan mengumpul 19 mata, satu mata mengatasi ATM di tangga kedua.

Pasukan kelab dari Negeri Sembilan, NS Betaria turut mengutip tiga mata selepas mengatasi Johor MBJB, 3-2 di Stadium Sultan Ibrahim, Muar.

Tiga gol NS Betaria dijaringkan oleh P. Haresh pada minit keenam, C. Premnath (minit ke-10) dan Mohd Saufi Mohd Ibrahim (minit ke-63) manakala dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Zulzairi Idzwan Abdul Rashid pada minit ke-55 dan Mohd Zulhisyam Mohd Safian 10 minit kemudian.

Pasukan tercorot liga, Perlis terus mempamerkan aksi mengecewakan selepas hanya sekadar mampu mengutip satu mata selepas terikat 3-3 ketika bertemu Johor di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Tiga gol Perlis dijaringkan oleh penyerang import dari Sierra Leon, Mohamed Lamin Conteh pada minit ke-42 dan 65 dan Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi pada minit ke-57.

Manakala tiga gol Johor dihasilkan oleh Mohd Munir Amran pada minit kelapan dan 90 serta pemain import dari Argentina, Muriel Juan Orlando pada minit ke-45.

Turut mencatatkan keputusan seri ialah pasukan kelab Sime Darby yang terikat 1-1 ketika bertemu Pos Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sementara itu, dalam perlawanan tunggal Liga Super, T-Team menundukkan Sarawak,1-0 menerusi jaringan Mohd Faiz Subri pada minit ke-67 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Yunus Aliff yang sebelum ini menduduki tangga kelima untuk melonjak ke tangga kedua carta liga dengan mengumpul 16 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain