suria

Wan Jamak Mahu Anak Buah Kutip Mata Penuh Ketika Kedah Menentang Selangor Esok

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan mahu anak-anak buahnya menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mengutip tiga mata penuh ketika menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini esok.

Beliau berkata walaupun pasukannya berada di kedudukan ke-13 dan Selangor pada kedudukan ketujuh liga, ia bukan penghalang untuk Kedah mencipta kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Beliau yang mengakui Selangor merupakan pasukan yang sempurna di setiap posisi berkata beliau mempunyai perancangan tersendiri untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya malam esok.

"Saya lihat pemain sudah memperoleh momentum yang dicari-cari sebelum ini dan berharap momentum ini dapat dikekalkan menentang Selangor nanti," katanya ketika dihubungi.

Wan Jamak juga yakin dengan dua import mereka iaitu Abdelfatah Safi dan Hamidan Mohamed yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama dapat menghasilkan gol.

Katanya beberapa pemain tunggak utama yang mengalami kecederaan seperti Mohd Fauzi Nan akan digantikan dengan pemain muda bagi memantapkan pasukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain