suria

54 Pasukan Sertai Kejohanan Hoki Sembilan Sebelah NPHA

IPOH: Sebanyak 54 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan hoki sembilan sebelah anjuran Persatuan Hoki Pemain Kebangsaan (NPHA) di padang hoki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi selama dua hari mulai Sabtu ini.

Kejohanan terbahagi kepada empat kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki dan Wanita bawah 19 tahun.

Presiden NPHA Mohamad Abdul Hadi berkata penganjuran pertandingan itu adalah bagi mencungkil bakat baru serta mengetengahkan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita mahu memartabatkan semula sukan ini serta mencari pemain-pemain muda yang boleh menggalas cabaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Pasukan yang menjadi juara akan dibawa ke Ipoh untuk menyaksikan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang dijadualkan berlangsung hujung Mei ini," katanya.

Mohamad berkata sebagai bekas pemain negara, persatuan itu mahu sukan hoki terus berkembang di negara ini.

Beliau yang juga bekas kapten kebangsaan berkata, pasukan hoki negara perlu lebih gah dan terus maju ke hadapan sebaris dengan pasukan Korea dan Jepun yang sebelum ini berada jauh di belakang pasukan Malaysia.

Oleh itu, katanya pelbagai pertandingan, ujian dan klinik hoki perlu dianjurkan bagi mencurahkan segala ilmu dalam permainan itu kepada generasi muda.

"Saya harap pertandingan yang dianjurkan ini mencapai sasaran. Antara pasukan yang akan bermain pada kejohanan kali ini adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan UKM," katannya.

Mohamad berkata penyertaan juga diterima daripada beberapa pasukan hoki sekolah.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain