suria

T-Team Yakin Boleh Pergi Jauh Tanpa Pemain Tunggak

KUALA TERENGGANU: Pasukan kelab T-Team yakin akan pergi lebih jauh dalam pertandingan Liga Malaysia musim depan sekalipun kehilangan beberapa pemain tunggak yang berhijrah ke pasukan lain.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata T-Team yang berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia tahun ini akan mendapatkan khidmat pemain Harimau Muda selain khidmat pemain-pemain import.

"Kita terpaksa membawa masuk beberapa pemain baru untuk mengekalkan corak dan rentak permainan," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Beliau yang membimbing pasukan T-Team musim ini disambung lagi kontraknya tahun depan, berkata tugasnya semakin mencabar untuk membentuk kerangka pasukan musim depan.

Ini kerana keupayaan dan kebolehan pemain-pemain yang bakal menyarung jersi T-Team belum diuji, katanya.

Azizi Mat Rose, Indera Putera Mahyuddin, Nor Farhan Mohamad dan Haris Safwan Kamal yang banyak membantu pasukan T-Team telah mengambil tindakan berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Walaupun Yunus terasa kehilangan pemain-pemain itu, tetapi beliau yakin T-Team masih mampu meneruskan kecemerlangan seperti musim ini kerana ramai lagi bekas pemain kebangsaan bersama pasukan seperti Shamsuri Mustapa, Rosdi Talib, Zairo Anuar Zalani dan Tengku Hasbullah Raja Hasan.

"Saya yakin pemain-pemain ini boleh membantu dan mengekalkan prestasi pasukan di samping dibantu oleh pemain-pemain muda yang berwibawa," katanya.

Beliau berkata pengurusan pasukan T-Team akan mengadakan lawasan ke beberapa buah negeri untuk menguji pemain-pemain import yang bakal mewarnai T-Team tahun depan.

Pemain yang dipentingkan T-Team ialah di bahagian pertahanan, pertahanan tengah dan penyerang, tambahnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain