suria

Ahmad Said Relakan Pemergian Irfan Bakti

KEMAMAN: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang sebelum ini keberatan untuk melepaskan Irfan Bakti Abu Salim sebagai jurulatih bola sepak Terengganu, akhirnya merelakan pemergian jurulatih itu.

Beliau berkata beliau mahu semua pihak menghormati keputusan yang dibuat jurulatih kelahiran Kelantan berusia 60 tahun itu untuk berhijrah ke Selangor.

Katanya sebagai jurulatih, Irfan Bakti yang enggan menyambung kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang bakal berakhir pada 30 Nov ini, mempunyai hak untuk berbuat demikian demi masa depannya dalam membangunkan sukan bola sepak negara.

"Dia ada alasannya sendiri. Mungkin dia menerima tawaran lebih tinggi dari negeri lain khususnya Selangor. Ini biasalah, seseorang jurulatih tak akan kekal lama dengan satu-satu pasukan.

"Bila mereka ada di kemuncak mungkin mereka akan hadapi tekanan lebih besar, jadi mereka akan fikir tawaran lain.

"Kita tak boleh paksa dia, mungkin dia perlukan suasana yang lebih menggembirakan dan tiada tekanan," katanya.

Ahmad berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai masalah yang dihadapi jurulatih itu dalam pertemuan dengan pihak pengurusan PBSNT pada Selasa.

"Dia dah minta naik gaji dari RM18,000 sebulan kepada RM20,000, kita dah beri. Tapi kita kena hormati juga hasrat dia nak tinggalkan Terengganu, mungkin Selangor tawar lebih baik lagi," katanya.

Mengenai kemungkinan Irfan Bakti menghadapi masalah dengan pengurusan PBSNT yang diterajui Datuk Che Mat Jusoh, Ahmad menafikan dakwaan tersebut.

Beliau juga meminta peminat yang dikatakan merancang untuk mengadakan satu demonstrasi bagi menuntut Che Mat meletak jawatan sebagai Presiden PBSNT, berfikir dua kali dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak wajar.

"Dari segi pencapaian, mereka (PBSNT) dah tunjuk kebolehan, Terengganu berjaya menjuarai Piala Malaysia, naib juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super.

"Mana lagi negeri yang ada dua pasukan dari satu negeri berjaya masuk ke peringkat akhir (Piala Malaysia). Kalau ada kurang kat mana tu, kita betulkanlah. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar," tambahnya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain