suria

Jurulatih Berkualiti Nadi Kemajuan Olahraga Negara

MELAKA: Jurulatih olahraga perlu meningkatkan ilmu teori dan praktikal dalam usaha melahirkan atlet pelapis yang berdisplin dan berdaya saing, kata Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM), Ong Tai Chu.

Beliau berkata usaha tersebut perlu diberi perhatian kerana Melaka kekurangan jurulatih tempatan yang berpengalaman.

Bercakap kepada Bernama di sini, Ong berkata kekurangan jurulatih berpengalaman itu memaksa Melaka mengimport jurulatih luar negara yang kualiti cemerlang seperti dalam sukan renang, squasy, menembak dan bola keranjang.

Beliau berkata kebanyakan jurulatih olahraga di negeri ini mempunyai sijil olahraga tahap satu dan diharapkan mereka mampu mencapai tahap tiga iaitu tahap tertinggi dalam kursus kejurulatihan olahraga.

Katanya MSNM menyokong penuh Kursus Kejurulatihan Olahraga Tahap Satu yang dianjurkan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran, Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang berlangsung selama 12 hari berakhir semalam di sini.

"Kursus ini dilihat memberi banyak ruang dan peluang kepada jurulatih olahraga seluruh negara untuk memperbaiki dan meningkatkan ilmu serta disiplin diri yang merupakan tunjang kejayaan seseorang jurulatih untuk melahirkan pelapis atlet yang berkualiti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) Mohamad Musa Noor Mohamad berkata pelaksanaan kursus tersebut diharap mampu memberi sinar baru dalam industri olahraga negara.

"Dengan menggunakan segala ilmu yang telah dipelajari daripada kursus ini, golongan jurulatih diharap dapat menjadi nadi pencetus kepada perubahan dan kemajuan industri olahraga di Malaysia.

"Usaha tersebut boleh dimulakan di peringkat sekolah dengan melatih dan melahirkan atlet pelapis kerana untuk meningkatkan prestasi olahraga negara bukanlah satu usaha yang mudah dan ia memerlukan masa dan pengorbanan yang tinggi," katanya.

Kursus tersebut disertai 50 orang guru dari seluruh Malaysia, seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), seorang bekas atlet kebangsaan dan seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain