suria

Malaysia Dominasi Acara Badminton Pada Sukan Belia Komanwel

KUALA LUMPUR: Malaysia mendominasi acara badminton dengan mengutip empat daripada lima pingat emas yang ditawarkan sekaligus menamatkan saingan pada Temasya Remaja Komanwel yang berlangsung di Isle of Man sejak Rabu lepas hingga Selasa.

Dengan tamatnya semua acara melibatkan anggota kontinjen negara yang terdiri daripada 18 atlet dari acara badminton, olahraga, berbasikal dan akuatik, Malaysia keseluruhannya mengutip empat emas, dua perak dan satu gangsa, kesemuanya melalui acara badminton.

Malaysia kini menduduki tangga ke lapan pada carta kutipan pingat keseluruhan daripada 63 negara Komanwel yang mengambil bahagian pada temasya itu.

Saingan bagi beberapa acara seperti tinju, gimnastik dan ragbi 7 sebelah masih berlangsung hari ini tetapi tidak melibatkan atlet Malaysia.

Sukan Remaja Komanwel bermula dengan edisi pertama di Scotland pada tahun 2000 dan diadakan selang empat tahun sekali namun pada 2005, Persekutuan Sukan Komanwel menetapkan temasya bagi atlet berumur di bawah 18 tahun ini tidak akan diadakan pada tahun Olimpik.

Dalam acara berbasikal kriterium, pelumba wanita Ju Pha Som Net sekadar menduduki tangga ke-11 sementara Hamdan Hamidun di tempat ke-24 dalam saingan lelaki.

Perenang remaja negara pula beraksi hambar selepas tiada yang layak beraksi di peringkat akhir.

Erika Kong Chia Chia tercorot dalam acara 200m kuak dada wanita sementara Tern Jian Han di tempat keenam acara 200m kuak dada lelaki.

Pada edisi 2008 di Pune, India, kontinjen negara meraih tiga emas, lima perak dan empat gangsa.

Tiga emas dari India datangnya dari acara badminton (2) dan menembak (1).

Keputusan: EMAS:

(Beregu campuran) - Teo Ee Yi/Chow Mei Kuan (MAS) mn Srikanth Kidambi/Maneesha Kukpalli (IND) 18-21, 21-16, 21-8;

(Perseorangan lelaki) - Zulfadli Zulkifli (MAS) mn Sameer Verma (IND) 21-16, 17-21, 21-15;

(Beregu wanita) - Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean (MAS) mn Sonia Cheah/Yang Li Lian (MAS) 21-17, 21-8;

(Beregu lelaki) - Nelson Heg/Teo Ee Yi (MAS) mn Ryan Mc Carthy/Tom Wolfenden (ENG) 24-22, 21-16. PERAK:

(Perseorangan wanita) - Sonia Cheah kk Pusarla Sindhu (IND) 20-22, 8-21.

(Beregu wanita) - Sonia Cheah/Yang Li Lian (MAS) kk Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean (MAS) 17-21, 8-21. GANGSA;

(Beregu campuran) - Nelson Heg/Lee Meng Yean (MAS) mn Ryan Mc Carthy/Emily Westwood (ENG) 21-14, 21-10.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain