suria

Bekas Juara Beregu All England Meninggal Dunia

GEORGE TOWN: Bekas juara beregu All-England, Datuk David Choong Ewe Leong meninggal dunia di kediamannya di Pantai Molek, Tanjong Tokong, di sini, pada pukul 6.30 pagi Sabtu.

David, 82, meninggalkan seorang isteri, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Mendiang bersama adiknya Datuk Eddy Choong menjuarai gelaran beregu All-England untuk tiga tahun berturut-turut dari tahun 1951 hingga 1953.

Menurut Eddy, abangnya mula diserang strok 15 tahun lalu tetapi keadaannya pulih selepas beberapa tahun selepas itu.

Bagaimanapun, katanya, mendiang berada dalam keadaan koma sejak sembilan tahun lalu selepas mengalami serangan strok kali kedua.

"Kami memang rapat sejak berganding dalam sukan badminton. Kami turut tinggal bersama di England selama 10 tahun," kata Eddy kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Katanya kematian abangnya itu merupakan kehilangan besar bukan sahaja untuk keluarganya tetapi juga untuk negara.

David juga menjulang gelaran beregu campuran All-England bersama June White Timperly pada 1953.

Selain sukan badminton, David merupakan bekas anggota eksekutif Majlis Perbandaran selepas memenangi pilihan raya 1961 atas tiket MCA. - BERNAMA

Artikel Berikut

AC Milan Sekadar Seri Dengan Lazio

Artikel Lain