suria

Ahmad Shabery MintaTindakan Tegas Kepada Pengkhianat Sukan Negara

KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan meminta polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengatur perlawanan bola sepak yang disifatkan sebagai pengkhianat sukan negara.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perbuatan tersebut amat memalukan dan menjejaskan imej bola sepak negara dan perlu dibanteras sehingga ke peringkat akar umbi.

"Saya beri amaran kepada pemain dan jurulatih, mereka mesti ingat masa depan bola sepak negara bergantung kepada keyakinan rakyat terhadap perlawanan mereka dan bukannya imbuhan daripada bookie," katanya.

Beliau mengulas penahanan seorang lelaki berusia 28 tahun ketika sedang sibuk mengatur pertaruhan perlawanan PIala Malaysia membabitkan pasukan Johor dan Kedah di Stadium Larkin, Johor, Selasa lepas.

Ahmad Shabery sebelum itu menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang dihadiri hampir 30,000 orang dari pelbagai lapisan rakyat.

Katanya rakyat kini menunjukkan sokongan yang tinggi terhadap bola sepak negara dan ini dapat dilihat menerusi peningkatan bilangan penonton di stadium untuk menyaksikan perlawanan pasukan pilihan mereka.

"Di mana-mana sahaja kita lihat anak muda pakai jersi kebangsaan, jadi kita tidak mahu minat dan sokongan ini luntur kembali sama seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu disebabkan masalah bookie ini," katanya.

Katanya, kementerian dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga akan memantau masalah itu dari masa ke semasa untuk mengelakkan ia menjadi barah dalam sukan bola sepak negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain