suria

United Pesta Gol Di Stadium Reebok

Rooney (kiri) meraikan gol ketiganya bersama Ryan Giggs (kanan) dan Hernandez.
Rooney (kiri) meraikan gol ketiganya bersama Ryan Giggs (kanan) dan Hernandez.
Rooney (kiri) meraikan gol ketiganya bersama Ryan Giggs (kanan) dan Hernandez.

PENYERANG sensasi Manchester United, Wayne Rooney mencipta hatrik untuk membantu pasukannya menewaskan Bolton Wanderers 5-0 di Stadium Reebok.

Ia merupakan hatrik kedua Rooney selepas pertemuan dengan Arsenal manakala Javier Hernandez menjaringkan dua gol dalam penampilannya pada permulaan musim ini.

United kembali mengisi kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dengan mengutip 18 gol dalam empat perlawanan, meninggalkan Manchester City di tempat kedua.

"Mereka (Rooney dan Hernandez) merupakan ancaman utama pasukan lawan. Pergerakan dan ketangkasan mereka berada pada kelas tersendiri," kata Pengurus Sir Alex Ferguson.

Sementara itu, United mungkin kehilangan khidmat pemain tengah, Tom Cleverley yang patah kaki selepas menerima terjahan kasar daripada kapten Bolton, Kevin Davies.

Cleverley terpaksa meninggalkan padang lebih awal dalam keadaan terhincut-hincut dan posisinya digantikan oleh Michael Carrick.

Insiden itu menyebabkan Ferguson berang terhadap Davies.

Dalam laman sosial Facebook Cleverley, pemain berusia 22 tahun itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan kekasaran yang dilakukan Davies.

"Terjahan itu mungkin menyebabkan kaki saya patah. Namun saya akan menjalani pemeriksaan imbasan hari ini. Saya amat marah pada ketika ini. Saya tidak menerima mesej minta maaf daripada Davies," katanya.

Dalam perlawanan berasingan, rentak cemerlang Liverpool pada awal musim tercalar apabila tewas mengejut 1-0 kepada Stoke City di Stadium Britannia, Sabtu.

Ia merupakan kekalahan pertama skuad kendalian Kenny Dalglish selepas empat perlawanan setakat ini.

Kekalahan itu jelas memberi satu tamparan besar buat Liverpool selepas mempamerkan persembahan menyakinkan sejak pembukaan tirai musim baru.

Corak permainan The Reds tidaklah begitu teruk, malah mereka menguasai hampir keseluruhan permainan termasuk memiliki peluang demi peluang terbuka tetapi gagal disempurnakan.

Serangan bertubi-tubi yang diterajui penyerang berbisa Uruguay, Luis Suarez gagal menembusi kekentalan barisan pertahanan yang dikemudi gandingan Ryan Shawcross dan Robert Huth dan diperkukuhkan lagi dengan kehebatan penjaga golnya, Asmir Begovic.

Lima cubaan tepat ke gawang iaitu tiga oleh Jordan Henderson dan dua dari Charlie Adam, berjaya diselamatkan Begovic.

Artikel Berikut

AC Milan Sekadar Seri Dengan Lazio

Artikel Lain