suria

ARRC Petronas: Decha Ketepikan Pelumba Tuan Rumah

Decha (tengah) mengungguli Perlumbaan 1 Pusingan 4 ARRC PETRONAS di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun. Tempat kedua dan ketiga diraih oleh pelumba negara, Azlan Shah (kiri) dan Hafizh Syahrin.
Decha (tengah) mengungguli Perlumbaan 1 Pusingan 4 ARRC PETRONAS di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun. Tempat kedua dan ketiga diraih oleh pelumba negara, Azlan Shah (kiri) dan Hafizh Syahrin.
Decha (tengah) mengungguli Perlumbaan 1 Pusingan 4 ARRC PETRONAS di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun. Tempat kedua dan ketiga diraih oleh pelumba negara, Azlan Shah (kiri) dan Hafizh Syahrin.

PELUMBA Thailand, Decha Kraisat membuktikan kehebatannya apabila berjaya mengetepikan cabaran pelumba-pelumba handalan Jepun untuk menjuarai kategori SuperSports 600cc pada Perlumbaan 1 Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun, Sabtu.

“Pada sesi kelayakan dan latihan bebas sebelum ini jentera saya mengalami sedikit masalah dan pelarasannya juga tidak berada pada tahap terbaik. Selepas berjaya memulakan perlumbaan dengan baik, ia terus memberikan keyakinan kepada saya untuk mengejar pelumba di hadapan dan seterusnya muncul juara.

“Saya akan menggunakan strategi yang sama iaitu cuba bermula dengan baik dan dapat berada di barisan hadapan. Selepas itu saya akan berusaha untuk mengulangi kejayaan hari ini,” jelas Decha yang kini berada di tangga ketiga dalam senarai keseluruhan dengan 82.5 mata.

Pelumba Yamaha Thailand Racing itu menamatkan perlumbaan sebanyak 12 pusingan dengan masa keseluruhan 23 minit 32.585 saat sekali gus mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menjuarai dua perlumbaan di Trek Lumba Motor Madras, India bulan lepas.

Manakala pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia pula terus mengekalkan prestasi cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa keseluruhan 23:34.004 saat.

Pelumba muda negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline yang beraksi buat musim kedua di pentas ARRC turut mencuri tumpuan apabila berjaya meraih podium pertamanya musim ini setelah menduduki tempat ketiga dengan masa keseluruhan 23:37.428s.

Pada peringkat awal perlumbaan, pelumba PETRONAS Yamaha Malaysia, Nobuyuki Osaki mendahului kedudukan sehingga ke pusingan ketiga namun kedudukan itu beralih ke tangan Katsuaki Fujiwara dari pasukan Manual-Tech BEET Kawasaki Racing apabila dia terjatuh pada pusingan keempat.

Walau bagaimanapun, Fujiwara gagal untuk mengekalkan kedudukan tersebut setelah Decha dan Azlan memintasnya pada pusingan kelapan. Bermula dari situ, Decha terus mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat dengan mempunyai kelebihan 1.419s di hadapan Azlan.

Fujiwara yang menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan setelah jenteranya mengalami masalah ketika sedang mendahului perlumbaan kekal di tangga teratas keseluruhan dengan mengumpul 121.5 mata diikuti Azlan di tangga kedua dengan 104 mata.

“Perlumbaan hari ini begitu sukar dan dipenuhi dengan pelbagai insiden. Beberapa pelumba di hadapan terjatuh dan selepas itu Fujiwara turut mengalami masalah mekanikal jenteranya walaupun sedang mendahului perlumbaan ketika itu.

“Saya gembira kerana strategi yang digunakannya pada hari ini berjaya membuahkan kejayaan. Selepas bermula dengan baik, saya berjaya memberikan saingan dan terus kekal di kelompok hadapan bersama pelumba-pelumba lain. Saya akan menggunakan strategi yang sama pada Perlumbaan 2,” jelasnya yang turut meletakkan sasaran untuk menjuarai perlumbaan kedua pada Ahad (esok).

Selain itu Anugerah Keseluruhan Berpasukan menjadi milik pasukan Manual-Tech BEET Kawasaki Racing yang mengumpul 121.5 mata setakat ini diikuti pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia yang semakin merapatkan jurang dengan 111 mata dan Yamaha Thailand Racing ketiga dengan 102.5 mata.

Dalam kategori Underbone 115cc, Hadi Wijaya menyekat dominasi berterusan pendahulu keseluruhan, Rafid Topan Sucipto sekali gus berjaya meraih kemenangan pertamanya untuk musim ini.

Pelumba Kawasaki NHK Rextor Manual Tech itu muncul juara selepas menamatkan perlumbaan yang berlangsung sebanyak 10 pusingan dengan masa keseluruhan 15:49.642s manakala Rafid (Yamaha CKJ TJM Racing) kedua dengan masa keseluruhan 15:49.655s diikuti pelumba negara, Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing) ketiga dengan 15:49.936s.

Keputusan ini bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Rafid sebagai pendahulu keseluruhan apabila terus kekal di tangga teratas dengan mengumpul 145 mata manakala Hadi kekal di tangga kedua dengan 111 mata. Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM yang tidak beraksi di Autopolis kekal di tangga ketiga dengan 76 mata.

Dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan, pasukan Yamaha CKJ TJM Racing terus mendahului kedudukan dengan memungut 152 mata diikuti Kawasaki NHK Rextor Manual Tech kedua dengan 111 mata. Pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM turun ke kedudukan ketiga dengan memungut 100 mata.

Perlumbaan 2 kategori Underbone 115cc akan bermula pada 12.35 tengahari, diikuti dengan Perlumbaan 2 kategori SuperSports Race pada 2.35 petang Ahad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain