suria

Jacqueline Rangkul Pingat Emas Di WWC 2011

KUALA LUMPUR: Pemain boling muda Malaysia Jacqueline Sijore berjaya merangkul pingat emasnya yang pertama di kejohanan antarabangsa selepas menewaskan Son Yun-hee dari Korea Selatan dalam final perseorangan Kejohanan Wanita Dunia 2011 (WWC 2011) di Hong Kong, Ahad.

Remaja berumur 19 tahun dari Sarawak itu berjaya menggegarkan gelanggang boling untuk menumpaskan lawannya dengan 266-217, menurut laman web rasmi pertandingan.

Terdahulu di saingan peringkat separuh akhir beliau menewaskan pemain Singapura Shayna Ng, 246-214 untuk mara ke perlawanan akhir, manakala Yun-hee menundukkan Mai Ginge Jensen dari Denmark dengan 279-268.

Shayna dan Mai Ginge meraih pingat gangsa.

Hanya empat pemain teratas dalam carta kedudukan dari tiga skuad mara ke peringkat separuh akhir.

Terdahulu sebelum saingan separuh akhir bermula, dua lagi pemain boling Malaysia Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Zatil Iman Abdul Ghani bertanding dalam pertandingan Skuad 3.

Selepas menamatkan pertandingan enam game, Zandra Aziela dan Zatil Iman masing-masing menduduki tempat kelima dan ke-13.

Selepas keputusan dari tiga skuad yang bersaing digabungkan, Jacqueline menduduki tempat ke empat, manakala Zandra Aziela di tempat ke-14, Zatil Iman (ke-29), Esther Cheah (ke-46), Sharon Koh (ke-62) dan Sin Li Jane (ke-92), daripada 171 peserta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wilshere Terpaksa Berehat Panjang

Artikel Berikut

Artikel Lain