suria

Kejohanan Tenis Terbuka KL Dihidupkan Semula Selepas Enam Tahun

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 pemain termasuk lima pemain utama negara akan menggalas cabaran pada Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur 2011 selama empat hari bermula Khamis depan.

Naib Presiden Pesatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur (KLLTA) Mirzan Tun Dr Mahathir berkata kejohanan, yang kali terakhir diadakan pada 2005, akan berlangsung di dua venue iaitu Pusat Tenis Negara Jalan Duta dan Kompleks Tenis Taman Titiwangsa.

Kejohanan tersebut yang mempertandingkan 10 kategori termasuk acara terbuka lelaki dan wanita akan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM27,900, katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Katanya KLLTA mengambil keputusan untuk menghidupkan semula kejohanan tersebut berikutan peningkatan minat dari komuniti tenis tempatan serta mengalakkan pembangunan sukan itu di Kuala Lumpur.

Selain itu, ianya juga bagi memilih dan melatih pemain terbaik mewakili Wilayah Persekutuan pada kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan, katanya.

Mirzan berkata lima pemain utama negara termasuk Si Yew Ming, Abd Hazli Zainuddin, Muhammad Ashaari Zainal Abidin, Ahmed Deedat Abd Razak dan Syed Mohamad Agil Syed Naguib dijangka menyertai kejohanan itu.

Katanya kejohanan terbuka itu diiktiraf oleh Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) dan menjadi sebahagian daripada siri kejohanan kebangsaan dengan menawarkan mata ranking kepada pemenang.

Selain cabaran tempatan, katanya, pemain utama dari Thailand, Indonesia dan Singapura turut dijangka mengambil bahagian dan penyertaan mereka akan meningkatkan lagi tahap permainan pada kejohanan tersebut.

Sempena dengan kejohanan itu, sebuah Karnival Tenis untuk semua pemain dan peminat akan dianjurkan pada 10 Sept ini di Stadium Tertutup Pusat Tenis Negara di Jalan Duta di sini.

Artikel Sebelum

Tahun 2011 banyak kenangan: Zaira

Artikel Berikut

Arsenal Dapatkan Khidmat Arteta

Artikel Lain