suria

Tahun 2011 banyak kenangan: Zaira

PEMINAT sukan angkat berat tempatan bakal merindui aksi jaguh angkat berat wanita negara, Zaira Zakaria (gambar) yang dikhabarkan akan menamatkan aksi mengangkat besi penghujung tahun ini, sejurus tamat Sukan Sea di Indonesia.

Hampir 11 tahun terlibat dalam acara ini, kini tiba masanya Zaira mengambil keputusan berat itu berdasarkan beberapa faktor penting selepas bergiat aktif sejak di bangku sekolah lagi sehingga terpilih menyertai skuad pelapis negara.

Selepas aksi cemerlang pada acara kebangsaan, dia mula diserapkan ke skuad elit negara sehinggalah kini.

“Bukan mudah untuk membuat keputusan ini tetapi saya yakin ini adalah masa yang tepat kerana saya dapat merasakan umur tidak sesuai lagi untuk terlibat secara aktif dalam bidang ini.

“Sebab itu jugalah saya bertekad untuk melakukan aksi terbaik jika layak ke Sukan Sea November ini. Saya akan cuba membaiki rekod dua tahun lalu di Laos yang meraih gangsa,” katanya kepada Mingguan mStar.

Menurut anak kelahiran Kedah ini, keputusan yang itu tidak menjejaskan skuad angkat berat negara kerana beberapa orang atlet pelapis wanita mempunyai potensi tinggi untuk dimasukan ke skuad elit.

“Ramai atlet pelapis yang boleh menggantikan tempat saya berdasarkan prestasi semasa. Ketika menjalani latihan bersama, mereka telah mempamerkan kesungguhan. Dan sebab itu saya yakin mereka ke skuad elit tidak lama lagi.

“Atlet muda seperti Norniada Nordin mempunyai peluang cerah untuk pergi jauh. Dan bagi saya dia adalah satu-satunya pencabar saya bagi saingan kelayakan ke Sukan Sea selepas raya nanti,” jelasnya.

Jaguh dalam kategori 48 kilogram clean and jerk ini berkata, dia baru sahaja kembali menjalani latihan di China awal bulan lalu biarpun terpaksa pulang lebih awal dari tempoh yang dirancangkan.

“Saya kembali ke negara lebih awal kerana pada awal Julai lalu saya kehilangan nenek tersayang. Saya bersyukur kerana sempat berjumpa dengan arwah nenek dua hari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Jadi selepas itu saya hanya menjalani latihan di sini sahaja dan masih mencari rentak terbaik sebelum Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Sirkit 2 pada 14 September ini,” jelasnya anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini.

Sementara itu, Zaira berkata, sambutan hari raya tahun ini dalam suasana sederhana sahaja memandangan baru kehilangan nenek tersayang.

“Saya sambut ala kadar sahaja. Lagipun cuti raya tidak panjang kerana jadual latihan dan kejohanan yang padat sebelum ke Indonesia,” katanya yang dijangka kembali berkhidmat dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas bersara kelak.

Selain aksi cemerlang pada Sukan Sea di Laos, Zaira hampir mencipta sejarah meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel di India tahun lalu dalam acara yang sama, namun terlepas pingat kepada atlet tuan rumah berikutan perbezaan berat badan.

Zaira Zakaria, Sukan SEA, Indonesia

Artikel Sebelum

Wilshere Terpaksa Berehat Panjang

Artikel Berikut

Artikel Lain