suria

Kejayaan Safiq Beraksi Di England Tingkat Semangat Pemain Lain - Shabery

KEMAMAN: Kejayaan kapten skuad bola sepak kebangsaan Safiq Rahim ditawar beraksi dalam saingan Liga Divisyen Dua England, Liga Kejuaraan akan meningkatkan lagi semangat pemain lain untuk menunjukkan kebolehan mereka dalam sukan itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pemain itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan peluang tersebut sebagai proses yang bakal mematangkan lagi corak permainan pemain tengah pasukan Selangor berkenaan.

"Tahniah kepada Safiq dan terima kasih kepada Cardiff City kerana memberi peluang kepada pemain Malaysia untuk diuji dan diharap ia menjadi proses mematangkan dan meningkatkan lagi iltizamnya untuk tunjukkan kebolehan," katanya, di sini, Sabtu.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis ramah mesra dan penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat Orang Asli di Dewan Orang Ramai Sungai Pergam.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kini ramai pengiat industri sukan bola sepak terutama dari Eropah mula menghalakan pandangan mereka ke Asia untuk mencari bakat baru, selepas menyedari kebolehan pemain di rantau ini sekalipun mempunyai fizikal yang agak kecil.

"Walaupun (berbadan) kecil tetapi pemain dari negara Asia lebih lincah dan mereka juga melihat Asia mempunyai pasaran yang besar dalam sukan ini dan buktinya dengan sambutan yang ditunjukkan oleh peminat setiap kali perlawanan persahabatan diadakan dengan pasukan bola sepak gergasi dari Eropah seperti Chelsea dan Liverpool," katanya.

Safiq, 24, melakar sejarah tersendiri dalam arena bola sepak negara apabila ditawarkan kelab bola sepak Cardiff City untuk menjalani ujian percubaan selama tiga minggu pada penghujung Oktober nanti.

Pemain yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu menerima surat tawaran tersebut semalam dan dijangka mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Cardiff City Datuk Chan Tien Ghee berhubung perkara berkenaan pada 5 September. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain