suria

Harap Lebih Ramai Atlet Layakkan Diri Ke Sukan Olimpik - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu melihat lebih ramai atlet negara melayakkan diri untuk mewakili negara dalam temasya Sukan Olimpik London, kata menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Saya bukannya tidak berpuas hati dengan jumlah atlet yang telah melayakkan diri tetapi saya harap lebih ramai atlet akan melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Kita masih ada beberapa atlet yang kini sedang berusaha untuk melayakkan diri. Antaranya Leong Mun Yee, yang hampir melayakkan diri baru-baru ini. Beliau masih ada harapan lagi tetapi kena tunggu awal tahun depan untuk mendapat peluang itu," katanya.

Ahmad Shabery ditemui pemberita pada majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dan berbuka puasa Majlis Sukan Negara (MSN) di Dewan Komanwel, MSN, Bukit Jalil malam Khamis.

Pada majlis itu, penerjun kebangsaan Pandelela Rinong Pamg dan Bryan Nickson Lomas masing-masing menerima Skim Insentif Sukan Olimpik berjumlah RM24,000.

Pandelela dan Bryan adalah dua atlet terbaru melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik London selepas pasukan memanah recurve lelaki.

"Kita juga mengharapkan pasukan bola sepak kita turut dapat melayakkan diri walaupun agak sukar. Kalau mereka dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik ia akan memberi satu harapan baru kepada negara. Bagi acara berbasikal trek dan badminton, atlet-atlet kita berada di landasan yang terbaik," kata Ahmad Shabery.

Ahmad Shabery turut mengharapkan pengurusan dan jurulatih skuad hoki negara supaya memikirkan suatu perubahan drastik terhadap skuad hoki.

"Kita harapkan pasukan hoki kita dapat memperbaiki keadaan. Saya minta pihak pengurusan dan jurulatih dapat memikirkan sesuatu kerana prestasi yang ditunjukkan dalam beberapa kejohanan tidak begitu memberangsangkan.

"Sekiranya mereka bertindak cepat dan drastik mereka mungkin dapat melahirkan hasil yang diharapkan," katanya.

Sementara itu, pemanah paralimpik negara Mohamad Salam Sidik, yang melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik London, menerima habuan berjumlah RM6,000 selepas berjaya meraih pingat gangsa dalam acara recurve individu W1/W2 lelaki di Kejohanan Memanah Para Dunia di Torino, Itali.

Ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David dan Mohd Nafiizwan Adnan masing-masing menerima insentif Shakam berjumlah RM40,000 setiap seorang selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Skuasy Asia ke-16, yang berlangsung di Pulau Pinang, April lepas.

Turut menerima insentif berkenaan ialah Ong Beng Hee (RM20,000), Delia Arnold (RM 10,000) dan Low Wee Wern (RM10,000).

Insentif Shakam berjumlah RM40,000 turut diberikan kepada Mohd Hatta Mahamut dan Leong Tze Wai yang meraih pingat emas, manakala R. Loganeshaa Rao, G. Yamini dan Jamaliah Jamaludin masing-masing menerima RM10,000 selepas meraih pingat gangsa di Kejohanan Karate (senior) Asia ke-10 di Guangzhou, China pada Julai lepas.

Insentif itu turut diberikan kepada skuad boling yang berjaya meraih satu emas dan tiga perak pada Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-21 di Abu Dhabi pada 15 hingga 23 Januari lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain