suria

Chong Wei Dijangka Temui Lin Dan Pada Perlawanan Akhir Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dijangka bertemu seteru utamanya Lin Dan dari China pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia di Arena Tertutup Wembley, London bulan depan.

Berdasarkan undian yang dijalankan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) , Chong Wei dan Lin Dan yang diletakkan dalam dua kumpulan berbeza, dilihat tidak menghadapi masalah untuk menguasai saingan dalam kumpulan masing-masing.

"Chong Wei bagaimanapun perlu fokus pada setiap perlawanan dan tidak boleh memandang rendah pada lawan terutamanya pemain-pemain China yang dijangka memberi saingan sengit," kata jurulatih perseorangan Rashid Sidek kepada pemberita selepas undian itu dijalankan di sebuah hotel di sini, Isnin.

Chong Wei, yang juga juara All England, akan bertemu pemain bukan pilihan Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand.

Cabaran Chong Wei bermula pada pusingan ketiga di mana beliau dijangkamenghadapi pilihan kesembilan kejohanan, Park Sung Hwan dari Korea, dan kemudian pemain China, Chen Long, pada peringkat suku akhir.

Jika Chong Wei berjaya mara ke separuh akhir, kemungkinan besar beliau akan bertemu perseorangan utama Indonesia Taufik Hidayat (pilihan ke-4) atau Chen Jin (pilihan ke-6) dari China.

Rashid berkata berdasarkan prestasi semasa Chong Wei, tahun ini merupakan peluang terbaik buat beliau untuk pertama kali memenangi kejohanan dunia itu.

Katanya Chong Wei kini lebih menumpukan pada latihan kemahiran dan taktikal sebagai persiapan terakhir, malah kecederaan yang dihadapi pemain itu juga semakin pulih.

Dalam undian beregu lelaki, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong memperoleh 'bye' dalam pusingan pertama dan dijangka bertemu beregu China Liu Xiaolong/Qiu Zihan pada pusingan kedua.

Beregu itu diramal akan menghadapi saingan hebat dari beregu Korea, Ko Sung Hyun dan Yoo Yeon Seong, yang merupakan (pilihan kelima, pada peringkat suku akhir.

Jurulatih beregu kebangsaan Rexy Mainaky berkata beliau amat berharap Koo dan Tan dapat mengulangi perlawanan akhir tahun lepas di mana beregu itu bertemu Cai Yun dan Fu Haifeng dari China.

Beliau juga mahu beregu kedua negara Mohd Zakry Abdul Latif dan Thien How Hoon membuktikan bahawa mereka layak untuk bermain di Kejohanan Dunia kali ini dengan sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Mohd Zakry/Thien akan bertemu juara kejohanan 2005 Howard Bach dan Tony Gunawan dari Amerika Syarikat pada pusingan pertama.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Akhir Copa Amerika

Artikel Lain