suria

Sukma (Bola Baling): Nur Sakihan Bantu Selangor Raih Pingat Emas Sukan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kelincahan Nur Sakihan Mohd Daud mengawal pintu gol membantu skuad bola baling wanita Selangor merangkul pingat emas pada temasya Sukan Malaysia ke-14 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Nur Sakihan, 21, yang mula mengenali sukan bola baling sejak berusia 11 tahun, berkata kejayaan hari ini bukan terletak kepada beliau sahaja tetapi kerja sepasukan yang banyak membantu.

"Saya amat berpuas hati dengan kejayaan hari ini. Ia pingat emas pertama untuk Selangor di Sukan Malaysia," kata Nur Sakihan, yang pernah mewakili negara ke Sukan SEA Korat, Thailand pada 2007.

Pada perlawanan akhir di antara Selangor dan Kedah, skuad 'Merah-Kuning' mendahului 4-3 pada separuh masa pertama dan terus menguasai permainan pada separuh masa kedua dengan menambah lima lagi jaringan untuk memenangi perlawanan dengan 9-4.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Faizal Rosman berkata para pemain mengekalkan corak permainan bertahan dan berjaya mengekang asakan pihak lawan.

"Kejayaan meraih pingat emas adalah sesuatu yang diluar jangkaan. Bagi pihak Persatuan Bola Baling Selangor, kami telah membuat sasaran setakat pusingan kedua sahaja di Sukan Malaysia.

"Latihan insentif bagi menghadapi Sukan Malaysia telah mula dijalankan pada Mac tahun ini dan mengadakan latihan pusat selama seminggu pada bulan Mei," kata Faizal.

Katanya kebanyakan pemain dipilih berdasarkan prestasi semasa mereka dalam Liga Bola Baling Kebangsaan dan Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

Sementara dalam saingan pingat gangsa, Negeri Sembilan menewaskan Perak 17-11. - BERNAMA

Artikel Lain