suria

Sukma (Lawan Pedang): Anak Jurulatih Raih Emas Pertama Untuk Dirinya

KUALA LUMPUR: Anak jurulatih sebuah kelab lawan pedang persendirian, Andrew Mok, yang mewakili skuad lawan pedang Wilayah Persekutuan meraih pingat emas pertama buat dirinya dalam acara lelaki kategori individu foil di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Ahad.

Andrew menewaskan Izzul Syawal Shamsudin dari Perak dengan catatan 15-4.

Pingat gangsa pula dikongsi bersama oleh Ledi Boyd S Malibin dari Sabah dan Syed Adil Emir Putra Syed Aidi Putra dari Wilayah Persekutuan.

Andrew, 16, berkata beliau mula berjinak dengan sukan itu pada 2004 hasil bimbingan bapanya Mok Chek Wlong yang merupakan jurulatih Kelab Touche, Subang Jaya.

"Saya berharap akan terpilih untuk mewakili negara pada Sukan SEA di Indonesia hujung tahun ini," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, pingat emas bagi acara wanita individu Sabre dimenangi oleh Filzah Syabila Jamaluddin dari Johor setelah menewaskan Nur Ain Sahari dari Perlis dengan 15-11.

Pingat gangsa dikongsi bersama Joyce Yap Yee Xiang dari Wilayah Persekutuan dan Nur Ain Sahari dari Perlis.

Filzah Syabila berkata beliau tidak menyangka memenangi pingat emas pertama peribadi dalam Sukan Malaysia itu setelah tiga kali menyertai temasya ini.

"Pada awal pertandingan, saya rasa agak kurang yakin menyebabkan saya ketinggalan jauh 1-5 mata daripada lawan.

"Namun, sorakan dan sokongan daripada rakan-rakan menyebabkan saya kembali bersemangat untuk mendapatkan pingat emas bagi pasukan Johor," katanya.

Beliau juga berharap akan dipilih mewakili negara ke temasya Sukan SEA di Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain