suria

Azizulhasni Sasar Kedudukan Podium Di ACC Korat

KUALA LUMPUR: Jaguh negara, Mohd Azizulhasni Awang, berazam menaiki podium dalam acara kegemarannya, keirin dan pecut 200 meter, pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nakhon Ratchasima, Korat, Thailand, bermula Selasa ini.

Katanya beliau meletakkan sasaran dua pingat tanpa mengira warna serta mengumpul mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Azizulhasni, 23, berkata beliau mahu mengelak sebarang kecederaan pada kejohanan itu memandangkan permukaan velodrom di situ beralun dan mudah terdedah kepada kemalangan jika tersilap langkah.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu, itu berkata demikian kepada pemberita selepas skuad berbasikal negara mendengar taklimat terakhir yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad, di Bukit Jalil, di sini,Sabtu.

Azizulhasni, dengan nama jolokan 'The Pocket Rocketman', berkata beliau akan cuba mencapai sasarannya walaupun terpaksa berentap dengan pelumba Jepun, Tsubasa Kitasuro dalam acara keirin dan jaguh pecut Sukan Asia 2010 Guangzhou, Zhang Lei dari China.

Pelumba tersebut itu nyata akan mengambil iktibar daripada kekalahannya pada kejohanan sama di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan juga Sukan Komanwel di New Delhi, India, tahun lepas.

Bagaimanapun, selepas Sukan Komanwel New Delhi, Azizulhasni berjaya meraih emas dalam acara keirin pada Sukan Asia 2010 Guangzhou.

"Kejayaan pingat emas di Guangzhou bagaikan pembakar semangat saya selepas ini," kata Azizulhasni.

Selepas berakhirnya saingan di Korat pada 12 Februari ini, beliau akan menyertai siri keempat Piala Dunia Klasik di Manchester, England, dari 15 hingga 21 Feb ini dan Kejohanan Trek Dunia bulan depan.

Sementara itu, Naim berkata PKBM mensasarkan 16 pingat pada Kejohanan Asia itu.

"Tahun lepas kita berjaya mendapat lapan pingat menerusi pelumba junior dan dua pingat oleh skuad elit. Kita harap kali ini skuad elit pula mampu memberikan prestasi yang terbaik berbanding tahun lepas," katanya.

Seramai lapan pelumba elit dan 16 pelumba pelapis termasuk pegawai akan berlepas ke Korat pada Ahad.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wolves Calar Rekod Man United

Artikel Lain