suria

Ahli Fisioterapi Pasukan Liga Super N.Sembilan Meninggal Dunia

SEREMBAN: Ahli fisioterapi pasukan Liga Super Negeri Sembilan, See Kim Leong, 63, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, awal pagi Sabtu akibat pendarahan dalam perut.

Menurut pegawai media Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Abdul Malek Hassan, mendiang atau lebih disenangi dengan panggilan Uncle C di kalangan pegawai dan pemain meninggal dunia kira-kira pukul 2 pagi.

"Sebelum itu, mendiang yang sedang bersama beberapa orang rakannya di sini petang semalam mengadu sakit badan. Mendiang kemudian meminta dihantar ke sebuah hospital pakar di sini, sebelum dipindahkan ke HTJ malam tadi dan meninggal dunia kira-kira pukul 2 pagi ini," katanya kepada Bernama.

Katanya antara pegawai PBNS yang menziarahi mendiang di HTJ malam tadi ialah Setiausaha Kehormat PBNS yang juga pengurus pasukan Liga Super Negeri Sembilan Datuk Abd Halim Abd Latif.

Mendiang meninggalkan seorang isteri Audrey Mcleod, 61, empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan serta tujuh orang cucu.

Menurut seorang daripada anak mendiang, Sharon Elaine, 33, bapanya meninggal dunia akibat pendarahan dalam perut.

Katanya jenazah bapanya dibawa ke rumah keluarga mendiang di Taman Sentosa, Klang dan upacara pembakaran mayat bapanya akan diadakan esok.

Katanya bapanya adalah bekas anggota kor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan selepas bersara pernah berkhidmat sebagai ahli fisioterapi dengan beberapa pasukan Liga Super seperti Selangor, Perak dan TNB Kelantan, sebelum menyertai pasukan negeri ini sejak lapan tahun lepas.

Sementara itu, Abdul Malek berkata semasa hayatnya mendiang seorang yang sangat ceria dan amat disenangi oleh semua pihak.

"Sumbangan mendiang dalam mengendalikan pemain yang cedera amat unik dan latihan fisioterapinya dikatakan mampu memendekkan masa penyembuhan amat bernilai untuk pasukan Negeri Sembilan.

"Antara sumbangan mendiang yang amat besar ialah membantu pemain midfield kita Shahurain Abu Samah pulih dari "double cruciate ligament injuries" yang memaksa Shahurain tidak dapat beraksi selama setahun.

"Kita kehilangan seorang ahli fisioterapi yang berpengalaman dan berdedikasi," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wolves Calar Rekod Man United

Artikel Lain